Sia-sia jadi juara Negeri Sabah, penyudahnya bajet tak cukup ke MSSM
Sia-sia bertanding daripada peringkat zon ke daerah kemudian ke peringkat negeri dan hasilnya Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) maklum ada kekangan bajet untuk menghantar mereka bermain di peringkat kebangsaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Johor.
Dalam laman sosial Facebook terjumpa sebuah nukilan daripada seorang cikgu di Keningau, Sabah tentang nasib pasukan Sabah B-18 dan B-15 tahun terpaksa melupakan hasrat untuk bermain di kejohanan MSSM apabila bajet untuk membawa mereka ke Johor tidak dapat diberikan oleh JPN Sabah.
Hal ini dimaklumkan bukan satu masalah yang baharu di Sabah apabila sebelum ini juga ramai pengurus-pengurus pasukan yang terdiri daripada guru sekolah para pelajar itu sendiri perlu menebalkan muka mencari dana sendiri daripada masyarakat yang sudi untuk menyumbang bagi memastikan para pemain dapat bermain bola.
Mereka dimaklumkan bahawa tiada pasukan bola sepak yang bakal dihantar ke MSSM bagi negeri Sabah apabila bajet mereka sebanyak RM30-40 ribu yang meliputi perbelanjaan tiket, makan serta minum dan tempat tinggal tidak dapat disediakan kerana kekangan bajet yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut kongsian yang dibuat oleh seorang guru tersebut turut menyatakan kesedihan serta kekecewaannya atas perkara yang berlaku ini dan berpendapat KPM seharusnya meningkatkan lagi peruntukkan untuk JPN Sabah memandangkan kos penerbangan yang perlu ditanggung mereka untuk ke semenanjung.
Hal ini mencetuskan rasa kecewa yang amat dalam buat para pemain dan jurulatih yang sudah bersungguh-sungguh bermain daripada peringkat awal kejohanan sehingga sudah berjaya memenangi pertandingan peringkat negeri namun tidak berjaya untuk mengharumkan nama negeri sendiri disebabkan masalah kewangan.
Perkara ini seharusnya mendapat perhatian khusus terutama daripada pihak KPM mengenai peruntukkan yang dikurangkan selain organisasi-organisasi yang berada di Sabah yang boleh turut membantu mereka supaya dapat ke Johor untuk kejohanan MSSM bagi sukan bola sepak yang berlangsung 25-30 Ogos ini.
Memandangkan kejohanan ini bakal dilansungkan di Johor, cikgu Naimmi turut memohon sekiranya dapat perkenan daripada Tunku Ismail Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk menghulurkan sedikit bantuan buat anak-anak muridnya dapat menyertai MSSM kali ini.
Oleh yang demikian, perkara ini tidak seharusnya berlaku terutama apabila kita di Malaysia kini sedang mengorak langkah ke arah negara yang lebih berjaya dalam sukan bola sepak.