Tiba masa wujudkan peraturan FFP di Liga Malaysia untuk pastikan masalah kewangan tidak berleluasa
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bahawa perlunya undang-undang Financial fair Play (FFP) dilaksanakan di Malaysia demi kestabilan liga dan setiap pasukan.
Katanya, setiap pasukan harus dibenarkan untuk berbelanja berdasarkan hasil pendapatan yang mereka perolehi.
Jika dilihat, setiap musim, ada saja isu melibatkan pasukan di Malaysia yang culas membayar gaji pemain dan juga pegawai pasukan.
Ini menunjukkan bahawa kebanyakan pasukan di Liga Super tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk bergerak walau semusim pun.
Namun, harus diakui bahawa dari segi perbelanjaan, kebanyakan kelab tidak mempunyai masalah untuk berbelanja besar membawa masuk pemain import yang diketahui lebih mahal gajinya.
Musim ini, setiap pasukan tidak ketinggalan untuk mengisi kuota-kuota import mereka, dan ada sebilangan daripada pasukan itu berdepan masalah tunggakan gaji.
Apa yang diusulkan oleh TMJ itu dilihat mampu menjadi langkah awal dalam memastikan kelab-kelab di Malaysia tidak berbelanja di luar kemampuan mereka.
Sekiranya ia dilaksanakan, aka nada kelab yang tidak cukup syarat untuk menawarkan sejumlah gaji yang besar kepada para pemain melebihi daripada bajet mereka.
Ini bukan sahaja mampu melindungi kelab tersebut daripada terjerumus dalam bebanan hutang yang banyak, tetapi juga memastikan pemain tidak dianiayai kerana tidak mendapatkan hak mereka.
Sebagai pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) harus mempertimbangkan cadangan tersebut supaya masalah kewangan dan tunggakan gaji tidak terus menjadi barah dalam bola sepak Malaysia.
Jika kelab terus diberikan kebebasan untuk membawa masuk pemain dan menawarkan gaji tinggi kepada pemain walaupun kantung kewangan mereka tidak seberapa, Liga Malaysia akan terus berdepan isu tunggakan gaji setiap musim dan ini akan mencemarkan reputasi bola sepak Malaysia.