Indonesia kawal perlawanan, kita bernasib baik dapat jaringkan gol dan menang – E Elavarasan

327

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, E Elavarasan mengakui bahawa pasukannya bernasib baik dapat mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia pada perlawanan pertama Piala AFF B-23 sebentar tadi.

Katanya, walaupun Indonesia mengawal perlawanan, anak-anak buahnya berjaya memanfaatkan peluang yang mereka ada untuk bangkit daripada ketinggalan.


“Kita menghormati Indonesia sebagai juara Sukan SEA, kita tahu mereka juga mempunyai kesukaran seperti yang kita hadapi iaitu tidak dapat membawa skuad terbaik.

Kadang-kadang elemen nasib memang ada dalam perlawanan, kita akui mereka mengawal perlawanan tetapi kita bernasib baik dapat peluang untuk menjaringkan gol,”

katanya.

Beliau memuji semangat yang ditunjukkan oleh para pemain untuk bangkit mendapatkan gol penyamaan dan seterusnya menjaringkan gol kemenangan.

Mengenai wira dua gol Malaysia iaitu Fergus Tierney, Elavarasan berkata bahawa bermain dengan pasukan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) membantu pemain itu.

“Fergus main dengan kelab yang hebat seperti JDT jadi dia telah didedahkan dengan banyak perkara di sana.”

Malaysia akan bertemu Timor Leste pada perlawanan seterusnya yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.