Ada pasukan dari Singapura dan Indonesia yang berminat untuk sertai KLWSL 2023 – Khushairi Aizad
Pengarah Program Kuala Lumpur Women’s Super League (KLWSL) 2023, Khushairi Aizad mendedahkan bahawa terdapat pasukan daripada negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura yang turut berminat untuk menyertai liga tersebut.
Bagaimanapun, beliau terpaksa menolak kerana menganggap masih belum bersedia untuk menerima peserta daripada luar negara buat masa ini.
“Memang ada pasukan daripada Singapura dan Indonesia yang berhasrat untuk menyertai KLWSL 2023 ini tetapi saya mahu fokus terhadap Malaysia terlebih dahulu kerana jika kita libatkan pasukan luar banyak prosesnya.
Buat masa ini kita belum lagi ke arah itu dan jika kita diberi peluang selepas ini sebagai contoh di peringkat negeri atau kebangsaan, mungkin idea serta hubungan yang kita ada boleh dikongsi dalam membangunkan lagi bola sepak wanita di negara ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Aizad berkongsi harapannya terhadap kejohanan itu untuk menjadi platform buat para pemain meningkatkan tahap permainan mereka, sekaligus dapat menaikkan lagi tahap bola sepak wanita di negara ini.
Beliau turut berhasrat melihat lebih ramai golongan wanita terlibat dalam pengurusan pasukan yang bertanding termasuklah menjadi jurulatih.
“Saya harap KLWSL ini akan berada dalam kalendar tahunan setiap pihak yang terlibat dengan bola sepak wanita di negara ini.
Saya juga berharap dapat sokongan daripada FAM, KLFA dan lain-lain untuk kita realisasikan agenda pembangunan bola sepak di Malaysia.”
Tambahnya, beliau akan melakukan postmorterm selepas kejohanan KLWSL 2023 tamat dan merancang untuk edisi akan datang yang lebih baik pada Jun dan Julai tahun depan.