Penganjuran KLWSL 2023 lebih meriah dengan sokongan Hannah Yeoh, Nik Nazmi – Faizal Basarom
Pengurus pasukan Wangsa Maju City FC, Faizal Basarom melihat penganjuran Kuala Lumpur Women’s Super League (KLWSL) 2023 kali ini lebih meriah daripada edisi terdahulunya.
Katanya, ditambah dengan sokongan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, Perubahan Iklim yang merangkap penaung kejohanan itu, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Pengarah Program, Khushairi Aizad, ia akan merancakkan lagi pembangunan bola sepak wanita di negara ini.
“Kita lihat tahun ini penambahan daripada enam pasukan kepada 10, ia sudah tentu akan jadi lebih meriah.
Pada edisi sebelum ini juga saya ada sertai KLWSL dan saya dapat lihat kali ini penganjurannya lebih baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau menyasarkan pasukannya untuk melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Sementara itu, pemain Spicegals, Puteri Noralisa Wilkinson berharap ramai pihak termasuk media, peminat bola sepak dan lain-lain dapat memberi sokongan padu kepada kejohanan itu.
Beliau melihat penganjuran kejohanan itu adalah amat baik dalam memastikan bola sepak wanita di negara ini bertambah baik, seiring dengan perubahan yang sedang berlaku di peringkat kebangsaan.
“Buat masa ini saya lihat bola sepak wanita di Malaysia memang sedang meningkat secara beransur-ansur.
Saya harap pada masa hadapan kita akan dapat melihat peningkatan yang lebih baik daripada sekarang.