E-sukan bakal mendominasi sukan di Malaysia satu hari nanti
Dengan zaman semakin moden dan teknologi semakin canggih ia turut memberi impak kepada dunia sukan secara langsung dan juga secara tidak langsung.
Boleh dikatakan sukan dan teknologi kini bergerak seiring dalam pelbagai aspek untuk menaik taraf sukan ke tahap lebih tinggi lagi.
Teknologi maju juga memperlihatkan evolusi sukan yang mana permainan video yang sebelum ini dianggap sebagai aktiviti di masa lapang dan ada juga yang mengatakan ia adalah aktiviti tidak berfaedah kini menjadi sebaliknya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, e-sukan mula bertapak di Malaysia dan sejak ia mula diperkenalkan sambutan terhadap e-sukan ini cukup memberangsangkan dan semakin hari peminat e-sukan makin bertambah.
Contoh terbaik adalah penganjuran Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) yang kini sudah memasuki musim ke-12 mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada orang ramai.
Siapa sangka golongan remaja yang sebelum ini ‘gila’ dengan permainan video ini dapat menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa dengan gaji yang lumayan.
MPL Malaysia musim ke-11 boleh dikatakan musim yang cukup berjaya apabila menyaksikan sambutan yang diterima di luar jangkaan pihak penganjur.
Jika sebelum ini, e-sukan hanya sinonim dengan golongan remaja tetapi kini ia turut mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan umur termasuk golongan warga emas yang turut sama turun untuk memeriahkan saingan MPL Malaysia.
Susulan kejayaan musim ke-11, pihak penganjur MPL Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengubah venue dari Stadium Juara, Mont Kiara ke venue yang lebih besar iaitu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bagi memastikan keselesaan peminat yang hadir.
E-sukan di negara Barat sudah lama maju dan perkembangan positif itu kini sudah sampai ke rantau Asia Tenggara di mana kita dapat menyaksikan negara seperti Filipina dan Indonesia kini menjadi antara negara terbesar dalam e-sukan ketika ini.
Malah mereka juga melahirkan ramai pemain e-sukan bertaraf dunia sekaligus membuatkan mereka menjadi rebutan banyak pasukan yang bersaing dalam ML untuk memperkuatkan pasukan mereka.
MPL Malaysia juga telah memperkenalkan kuota pemain dan jurulatih import yang mana kehadiran mereka mampu mempertingkatkan kualiti saingan liga domestik dan turut dapat beri saingan sengit apabila bersaing di kejohanan antarabangsa.
Populariti dan perkembangan yang cukup pesat dalam e-sukan turut menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengazetkan e-sukan sebagai salah satu sukan dalam Akta Pembangunan Sukan.
Melihat pada tempoh jangka masa panjang, e-sukan dijangka akan terus mendominasi dan akan menarik lebih ramai lagi orang ramai untuk terlibat secara langsung atau tidak dalam dunia e-sukan ini.
Selain populariti, antara salah satu faktor utama mengapa e-sukan mendapat sambutan luar biasa adalah jumlah wang hadiah yang ditawarkan cukup lumayan jika hendak dibandingkan dengan sukan-sukan lain.
Jadi tidak hairan apabila banyak pihak mula berjinak-jinak menceburi dunia e-sukan ini dan contoh terbaik adalah kelab bola sepak gergasi Selangor FC yang turut mempunyai pasukan yang bersaing di MPL Malaysia bermula musim lalu iaitu Red Giants Esports.
Kehadiran Red Giants Esports dijangka akan menjadi pencetus kepada kelab-kelab bola sepak lain untuk turut serta dalam dunia e-sukan ini di mana ia dapat membawa manfaat kepada banyak pihak.
Oleh itu, dengan peningkatan yang cukup drastik dalam dunia e-sukan di Malaysia ketika ini tidak mustahil kita akan melihat bahawa e-sukan bakal mendominasi dan menjadi salah satu sukan terbesar di negara satu hari nanti.