Baddrol Bakhtiar tiada dalam senarai EXCO Kedah, ada perancangan khas untuknya?
Baru-baru ini dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan pengumuman bekas ketua pasukan kebangsaan, Baddrol Bakhtiar yang mengumumkan dirinya terjun ke bidang politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Baddrol tidak berdepan masalah pada PRN lalu apabila beliau berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dengan majoriti lebih 6,000.
Kemasukan beliau dalam dunia politik sebelum ini telah menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi termasuk ada yang merasakan beliau telah dijanjikan jawatan oleh Menteri Besar Kedah iaitu Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor jika berjaya menang.
Tetapi ramai dikejutkan apabila kerajaan negeri Kedah telah mengumumkan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Kedah di mana nama bekas pemain Kedah Darul Aman FC itu tiada dalam senarai EXCO.

Bagaimanapun seorang lagi bekas lagenda Sang Kenari iaitu Muhammad Radhi Mat Din pula dilantik sebagai EXCO dengan memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan.
Manakala Sanusi pula memegang sebanyak lapan portfolio sekaligus mencetuskan tanda tanya apakah jawatan yang akan diberikan kepada Baddrol.
Adakah beliau akan dilantik sebagai Timbalan EXCO? Atau beliau akan diberi jawatan lain sesuai dengan pengalaman beliau dalam dunia bola sepak.
Berdasarkan situasi semasa, Baddrol berkemungkinan besar akan menyertai barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) berikutan pengalaman luas beliau dalam dunia bola sepak tempatan dan juga antarabangsa.
Apa-apa pun kita nantikan perkembangan terbaru tidak lama lagi kerana KFA dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini.