Penggantungan sudah tamat, Kelantan FC bakal jadi mangsa pertama Faisal Halim Jumaat ini?

235

Berikutan hukuman denda pemain sensasi kelab Selangor FC iaitu Faisal Halim yang bakal tamat pada 23 Ogos 2023 (Rabu) esok, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mickey dijangka bakal diturunkan pada perlawanan menentang skuad The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat ini.

Hukuman yang merupakan satu tamparan hebat buat kem pasukan Selangor kerana terpaksa bermain dalam Liga Super serta Piala Malaysia tanpa khidmat beliau yang merupakan tonggak utama sebelum ini dilihat akan kembali mempertaruhkan pemain sayap berusia 26 tahun itu kembali.


Walaupun sudah lama tidak beraksi, dengan kelonggaran yang diberikan untuk berlatih bersama pasukan Selangor dalam sesi latihan sahaja diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu beliau untuk terus memberikan aksi konsisten semasa diturunkan pada jumaat ini.

Dengan rekod cemerlang sebelum ini dalam 18 perlawanan dengan lapan jaringan gol dan lapan bantuan jaringan pada musim ini sebagai pemain tempatan semestinya Faisal bakal kembali untuk merebut tempatnya dalam skuad The Red Giants dan terus mencipta jaringan lagi.

Tambahan pula, perebutan tempat kedua dalam liga yang semakin rancak serta misi pasukan dari Lembah Klang itu untuk melayakkan diri ke kejohanan peringkat Asia pasti dengan kehadiran Faisal akan dapat membantu Selangor untuk terus konsisten mengutip mata.

Dengan baki lima perlawanan lagi dalam liga, kehadiran beliau semestinya akan merancakkan lagi saingan liga justeru memperkuatkan jentera serangan skuad Merah Kuning itu.

Pada masa yang sama kesilapan yang telah berlalu diharapkan mampu menjadi pengajaran buat diri beliau sendiri agar lebih matang dalam memberikan kenyataan di masa akan datang kerana bakal merugikan diri beliau dan pasukan sahaja.