Kami akan jadikan JDT dan KL City FC sebagai inspirasi untuk juarai Piala AFC – Ong Kim Swee
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC sebagai inspirasi bagi mengharungi saingan Piala AFC pada musim ini.
Katanya, pencapaian kedua-dua pasukan itu boleh dicontohi oleh mereka untuk memastikan Sabah FC menjulang trofi tersebut.
“Kita jadikan JDT sebagai inspirasi untuk menjadi juara, dan juga KL City sebagai satu sumber kepercayaan di mana mereka berjaya layak ke perlawanan akhir.
Kita tak letakkan sasaran apa-apa tetapi kita mempunyai objektif tersendiri, untuk layak ke pusingan seterusnya pasti akan memberi impak yang berbeza kepada Sabah untuk kempen Liga Super dan Piala Malaysia,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui akan melakukan penggiliran pemain apabila saingan Piala AFC bermula kerana jadual yang padat.
Beliau berkata pemain-pemain muda mungkin akan mempunyai peluang untuk tampil dalam perlawanan-perlawanan tertentu.
“Jika kita lihak kalendar musim ini ada beberapa kejohanan seperti Liga Super, Piala AFC, Piala Asia Piala Malaysia dan juga aksi skuad kebangsaan.
Bagi saya kita ada kedalaman skuad yang mencukupi dan sudah tentu saya akan lakukan penggiliran pemain dan lihat situasi pemain yang akan terlibat dengan pasukan kebangsaan.”
Tambah Kim Swee, mereka tidak akan fokus kepada kejohanan-kejohanan tertentu walaupun berdepan jadual yang padat kerana menganggap setiap perlawanan adalah penting.