Mungkin ada suntikan dana daripada kerajaan negeri kepada Terengganu FC untuk Piala AFC – Mohd Fadhil Wahab
Pengurus pasukan Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab memberi bayangan suntikan dana daripada kerajaan negeri Terengganu untuk menghadapi saingan Piala AFC.
Katanya, buat masa ini belum ada maklumat daripada kerajaan negeri tetapi beliau merasakan tiada masalah untuk perkara itu.
“Setakat ini belum ada maklumat dari kerajaan negeri tetapi saya rasa pasti akan ada suntikan dana.
Untuk kejohanan Piala AFC ini saya rasa tiada masalah untuk dana daripada kerajaan negeri,”
katanya.
Katanya, sasaran untuk kejohanan Piala AFC pada musim ini untuk memberikan yang terbaik dan beliau percaya momentum baik dalam liga ketika ini akan membantu mereka.
Beliau melihat cabaran terbesar akan hadir daripada pasukan Australia iaitu Central Coast Mariners FC tetapi tetap berwaspada dengan dua lagi pasukan lain iaitu Bali United dan Stallion Laguna FC.
“Sudah tentu bagi saya cabaran terbesar adalah daripada pasukan Australia kerana mereka dibarisi ramai pemain kebangsaan.
Tetapi tak dapat dinafikan bahawa pasukan-pasukan lain juga mampu beri cabaran yang hebat.”
Mengenai persiapan stadium, beliau berkata bahawa semuanya berada dalam keadaan yang baik dan pihaknya akan perbaiki lagi keadaan stadium sekiranya terdapat kekurangan.