Red Eagles Soccer Club sediakan platform untuk pemain pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak

104

Sukan bola sepak sebelum ini lebih sinonim dengan sukan lelaki, namun kini bola sepak juga semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita apabila sudah ada saingan liga kompetitif untuk wanita.

Biarpun bola sepak wanita boleh dikatakan masih ‘baru’, namun ia sudah memperlihatkan perkembangan yang positif dan Red Eagles Soccer Club (RESC) antara akademi bola sepak pembangunan akar umbi wanita yang aktif dalam melahirkan pemain-pemain wanita di negeri Kedah.


Individu yang bertanggungjawab dalam merealisasikan akademi ini adalah Irwan Rashidi yang merupakan Presiden RESC di mana beliau mahukan bola sepak wanita terus berkembang dan pada masa sama melahirkan bakat-bakat baru yang bukan sahaja akan mewakili negeri tetapi juga negara.

“Red Eagles ini kita mula daftar secara rasmi pada tahun 2021 tapi kita sebelum ini sudah lama terlibat dalam program pembangunan bola sepak wanita sejak dari 2016.

Objektif utama kami adalah mahu mewujudkan satu pasukan wanita di Kedah untuk bersaing dalam kejohanan-kejohanan melibatkan wanita seperti Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) dan Liga Wanita Nasional (LWN).

Tetapi akibat kekangan kewangan jadi buat masa ini kami akan supply pemain-pemain kepada kelab-kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Irwan yang turut bertindak sebagai jurulatih RESC, walaupun mereka masih baru dalam kancah bola sepak wanita, namun beberapa pemain mereka sudah pun berjaya dipanggil untuk menyarung jersi Malayan Tigress seperti Nur Amirah Rahman dan Nurfarisya Hanim Zaki.

“Untuk dari RESC memang ada beberapa pemain yang mewakili pasukan kebangsaan B-20 ketika ini iaitu Amirah Rahman dan Nurfarisya Hanim dan yang lain-lain adalah pemain senior yang mana ada lebih kurang lima pemain seperti bekas pemain kebangsaan Izzati, Mira Fazliana, Nur Lyana dan beberapa lagi.

Nur Lyana baru-baru ini menjadi salah seorang pemain yang menerima tawaran bermain di sebuah kelab di Kosovo.”

Dalam pada itu, beliau turut mengakui berdepan pelbagai cabaran dan dugaan dalam menguruskan sebuah akademi bola sepak wanita dek bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana persatuan.

“Buat masa ini kita tidak bernaung dibawah mana-mana persatuan cuma sebelum penubuhan kelab ini kita bernaung dibawah KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) iaitu ketika sebelum adanya FC (penswastaan).

Jadi selepas adanya FC, bajet KFA memang kurang jadi kita bergerak sendiri dan sebab itu juga kita bergelut juga apabila kita mahu menyertai sesuatu liga atau kejohanan kerana kekangan kewangan.”

Disebalik pelbagai kekangan, RESC yang mewakili Kedah mencipta sejarah apabila mereka yang pertama kali menyertai Malaysia Little League berjaya muncul sebagai naib juara.

Sementara itu, Irwan turut memberitahu mereka kini sedang membuat persiapan untuk menyertai kejohanan Sime Darby Chairman’s Trophy untuk B-16 yang akan berlangsung pada 2 hingga 3 September ini di Padang Sime Darby FC Bukit Jelutong, Shah Alam.