Sokongan penuh dari keluarga bakar semangat Qaseh Irdina untuk fokus pada bola sepak
Pemain Red Eagles Soccer Club (RESC), Nur Qaseh Irdina Naimi memberitahu beliau mendapat sokongan penuh daripada keluarganya untuk terus serius dalam sukan bola sepak sekaligus mahu menjadikannya sebagai kerjaya satu hari nanti.
“Saya mula main bola sepak sejak berusia enam tahun lagi dan sejak dari itu saya mencari mana-mana akademi yang menyediakan platform untuk saya dan akhirnya saya pilih untuk sertai Red Eagles.
Keluarga saya juga sangat menyokong saya menceburi sukan bola sepak ini, jadi saya tiada penghalang untuk saya terus fokus pada bola sepak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi RESC adalah platform terbaik untuk dirinya mempamerkan kemampuannya kerana mereka kerap menyertai kejohanan dalam negeri dan juga di luar negeri.
Qaseh yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tunku Ismail di Kuala Muda, Yan berkata antara kejayaan yang tidak boleh dilupakan apabila mereka berjaya menjadi naib juara pada kejohanan Malaysia Little League.
Dalam pada itu, Qaseh mengakui beliau serius dalam bola sepak dan memasang impian untuk menjadi pemain bola sepak profesional satu hari nanti.
“Cita-cita saya memang nak jadi seorang pemain bola sepak profesional sejak dari kecil lagi. Jadi saya akan cuba usaha untuk realisasikan cita-cita saya.”
Sementara itu, beliau kini sedang dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan Sime Darby Chairman’s Trophy yang akan berlangsung pada 2 hingga 3 September ini di Bukit Jelutong, Shah Alam.