Dua pemain Selangor FC berhijrah ke luar negara petanda positif untuk bola sepak wanita!

207

Perkembangan bola sepak wanita Selangor FC dilihat semakin positif dari hari ke hari apabila pemain wanita mereka Nur Lyana Soberi telah dilamar oleh sebuah kelab dari Kosovo iaitu KFF Presingu dengan kontrak selama lapan bulan.

Pemain berusia 24 tahun yang bermain di posisi tengah itu merupakan tonggak utama buat Selangor di dalam Liga Wanita Nasional (LWN) serta antara pemain penting dalam skuad Malayan Tigress sejak tahun 2019.


Selain Lyana, seorang lagi pemain Selangor iaitu Berlin Leong Xin Ying juga bakal melanjutkan pelajaran ke Sepanyol dan pada masa yang sama juga bakal meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak wanita bersama kelab Atletico Trabenco.

Beliau juga sebelum ini pernah bermain bersama kelab C.F. Pozuelo di Sepanyol serta telah mewakili skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun lagi dan kini merupakan antara aset penting dalam skuad Malayan Tigress.

Dengan pendedahan bermain bola sepak di luar negara semestinya bakal menjadi penggalaman yang berguna buat dua pemain tersebut dalam menambahkan penggalaman serta mengasah bakat mereka apabila dapat bermain di kelab yang mempunyai infrastruktur dan kelengkapan yang lebih baik.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa pemain Malaysia juga mempunyai potensi yang besar untuk melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak wanita di masa akan datang.

Pada masa yang sama pemergian pemain Selangor ke kelab luar negara merupakan satu pembuka jalan kepada pemain-pemain lain juga untuk terus menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap perlawanan.

Tidak mustahil suatu hari nanti lebih ramai pemain wanita Malaysia yang akan berkelana di luar negara dan bermain bersama kelab-kelab besar di Asia mahupun Eropah.