Lewandowski cipta rekod baru jaringkan 300 gol

207

Penyerang sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski sekali lagi mencipta rekod terbaru apabila beliau kini berada dalam senarai pemain menjaringkan 300 gol dalam liga utama Jerman.

Gol ke-300 Lewandowski dijaringkan ketika Bayern menentang Cologne yang mana beliau telah menjaringkan hatrik sekaligus membantu pasukannya menang 4-0.


Lewandowski dijangka mampu untuk mengatasi rekod penjaring terbanyak Bundesliga sepanjang zaman yang kini dipegang oleh Gerd Muller pada tahun 1976 dengan 365 jaringan.

Dalam perlawanan itu, Lewandowski telah membuka jaringan seawal minit ke sembilan selepas menyambut hantaran cantik daripada Thomas Muller.

Bayern terus menguasi permainan dan tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-25 menerusi jaringan menarik Corentin Tolisso.

Sumber foto: Bayern Munich Facebook

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Julian Nagelsmann terus menguasai permainan dan Lewandowski terus mempamerkan ketajamannya di hadapan pintu gol apabila menjaringkan dua gol lagi pada minit ke-62 dan ke-74 untuk melengkapkan hatrik-nya.

“Untuk saya ia sesuatu yang istimewa. Sebelum perlawanan saya tidak fikir mengenai rekod atau berapa gol yang saya sudah jaringkan atau berapa banyak saya perlu jaringkan lagi. Saya hanya buat yang terbaik,”

katanya kepada Bundesliga.com.

Tambahnya lagi, beliau tidak menjangka mampu menjaringkan gol sebanyak itu sejak menyertai pasukan itu pada tahun 2014.

Kemenangan 4-0 terhadap Cologne menyaksikan Bayern terus kekal sebagai peneraju liga dengan 46 mata, enam mata di hadapan Borussia Dortmund.

Bayern juga telah mencipta rekod baru kelab itu apabila berjaya menjaringkan gol dalam 66 perlawanan berturut-turut.

Sepanjang 66 perlawanan itu mereka telah menjaringkan 200 gol dengan purata tiga gol dalam setiap perlawanan.

Rekod itu sekaligus memecahkan rekod lama mereka iaitu 65 perlawanan dari April 2012 hingga April 2014.