Kami akan kutip ilmu dari TSS Selangor untuk berjaya seperti mereka – Cikgu Juha Ismail
Pengurus pasukan Grey United Cikgu Juha Ismail menganggap kehadiran pasukannya dalam kejohanan Asia Grassroot Football Championship 2023 adalah peluang untuk pemainnya mendapat pendedahan awal akan sukan bola sepak kerana kelab itu masih baru ditubuhkan.
“Pada peringkat awal ini permainan mereka hanya untuk berseronok terlebih dahulu dan pada masa yang sama menjadi medan untuk mengembangkan teknik mereka dalam bola sepak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Cikgu Juha juga merasakan kejohanan tersebut adalah platform baik untuk anak didiknya itu mencari rentak dalam sukan bola sepak sebelum melangkah lebih jauh pada masa akan datang.
“Kejohanan seperti ini merupakan satu usaha yang bagus untuk perkembangan mereka. Selepas ini kami akan membuat sasaran dalam kejohanan ini dengan pemilihan pemain serta membuat latihan dengan lebih terancang.”
Beliau komited akan terus membawa pasukannya mencapai standard yang lebih tinggi untuk memberikan saingan pada edisi kejohanan yang akan datang dan menjadikan pasukan besar seperti TSS Selangor sebagai inspirasi terbaik.
“Untuk Grey United ini kami akan teruskan latihan dan berusaha untuk menjadi hebat seperti pasukan TSS Selangor. Kami juga akan mengutip ilmu daripada pasukan besar untuk berjaya seperti mereka.”