Pemain KDA FC dapat bonus selepas berjaya ikat JDT di laman sendiri
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC (KDA), Khamal Idris mengumumkan berita gembira buat seluruh pasukannya apabila pengurusan kelab bersetuju untuk memberikan bonus selepas mereka berjaya seri 3-3 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.
Menurut Khamal, bonus selalunya diberikan sekiranya pasukan menang tapi untuk perlawanan menentang JDT malam tadi beliau berkata pengurusan akan tetap beri bonus.
“Di pihak kita memang kalau menentang JDT ada bahagian berbeza dari pasukan-pasukan lain.
Selalunya bonus kita bagi jika menang saja, tapi apa yang kita bagi malam ini bonus kita bagi juga walaupun seri,”
katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang mempamerkan aksi yang cukup menarik pada perlawanan Liga Super malam tadi dan berjaya menterjemahkan perancangan ketua jurulatih Nafuzi Zain.
Khamal juga mengakui turut terkejut dengan aksi yang dipamerkan oleh Sang Kenari kerana mereka kini menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata dari juara bertahan Harimau Selatan.
Dalam pada itu, penaung KDA iaitu Tan Sri Dr Daud Bakar bersyukur dan gembira dengan keputusan pada perlawanan malam tadi dan beliau berharap agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi baki saingan liga.
“KDA mengalami situasi naik turun sepanjang musim ini tapi malam ini satu persembahan yang mempersonakan apabila kita bermain dengan dua pasukan yang kuat dan mantap, sudah pasti kita dapat lihat kualiti permainan kedua-dua pasukan.
Alhamdulillah KDA malam ini dapat keyakinan dan kejiwaan mereka dengan mempertaruhkan segala skil yang mereka ada untuk beri yang terbaik di setiap bahagian.
Jadi kita harapkan pasukan dapat teruskan momentum ini sehingga ke akhir musim ini.”