Sekarang saya hanya fokus untuk bersama JDT ke perlawanan akhir sahaja-Abu Haniffa Hassan
Penjaring terbanyak musim ini bagi pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Abu Haniffa Hassan tidak mahu berfikir tentang posisinya di skuad kebangsaan dan hanya mahu memberikan fokus buat mencari tempat di perlawanan akhir Futsal Piala Malaysia.
Abu yang menjadi salah seorang penjaring gol kemenangan JDT di Kompleks Sukan Nasional Panasonic, Shah Alam malam ini mahu lebih fokus untuk mara ke pusingan akhir bersama skuad futsal harimau Selatan dalam perjalanan mereka menebus kekecewaan di perlawanan akhir Malaysia Premier Futsal League (MPFL) tempoh hari apabila tumpas di tangan Pahang Rangers.
“Untuk masa sekarang saya hanya fokus untuk pusingan separuh akhir bersama JDT dan jika diberikan rezeki saya ingin melangkah ke perlawanan akhir selain daripada perkara itu saya letak tepi dahulu,”
katanya.
JDT yang berjaya menundukkan Selangor MAC selaku bekas juara MPFL musim lalu di gelanggang keramat mereka malam ini membawa pulang tiga gol berharga untuk menjadi bekal dalam pertarungan mereka di Pasir Gudang kelak.
Pemain tonggak skuad futsal kebangsaan itu juga bersyukur kerana JDT masih diberikan peluang untuk merangkul piala musim ini disamping ingin melupakan kegagalan mereka meraih kejuaraan MPFL musim ini.
“Kedua-dua pasukan bermain dengan baik hari ini tetapi rezeki berpihak kepada Johor Darul Ta’zim jadi kami akan fokus ke Pasir Gudang dan kita akan baiki segala kesalahan hari ini,”
“Selain bersyukur kita dapat peluang kedua hari ini untuk merebut kejuaraan dan bermain di separuh akhir, tiga gol ini kita bawa ke pasir Gudang,”