Jika layak ke Liga M4 tahun hadapan, kami akan kekal di Liga M5-Fazly Norhan

66

Pemilik kelab Port Dickson United, Fazly Norhan tidak mahu melangkah terlalu cepat di samping mahu pasukan mengambil sebanyak mungkin pengalaman musim ini untuk memastikan kejuaraan mereka musim hadapan.

PD United telah ditubuhkan pada 22 November tahun lalu dengan kebanyakkan pemain yang berada dalam skuad mereka adalah berumur 23 tahun kebawah selain ditaja khas menggunakan dana sendiri milik Fazly Norhan.


Menurut Fazly, beliau mahu pasukannya meraih pengalaman di Liga M5 sebanyak mungkin dan belum berfikir untuk menaiki tangga liga dengan cepat disebabkan masih baharu dalam kancah profesional.

“Sasaran kami adalah untuk layak ke separuh akhir, jika kami layakkan ke Liga M4 tahun hadapan kami akan berfikir untuk kekal di Liga M5 kerana kami mahukan pengalaman, jika kita bermain di peringkat tertinggi tanpa pengalaman takut nanti para pemain tidak mampu berikan saingan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Seperti pasukan baru yang lain, masalah kewangan sememangnya menjadi faktor utama dalam memastikan masa depan kelab terjamin termasuklah PD United yang mana Fazly mengeluarkan modal duit poketnya sendiri untuk menubuhkan pasukan ini.

“Cabaran-cabaran yang kami hadapi adalah faktor kewangan memandangkan kami juga pasukan yang baru ditubuhkan jadi sekarang 100% saya menggunakan duit sendiri,”

Namun Fazly akui sokongan dan bantuan daripada masyarakat di Port Dickson sendiri memberinya semangat dan keyakinan untuk membina skuad tersebut sekaligus membina satu platform buat anak-anak muda di Port Dickson bermain bola sepak di peringkat lebih tinggi.

“Kebanyakkan orang di PD menyokong dengan penubuhan PD United ini selain jurulatih-jurulatih dan masyarakat PD banyak membantu kami,”

“Penubuhan kelab ini adalah untuk memberi platform buat anak-anak muda di PD ini bermain bola sepak di peringkat yang lebih tinggi contoh ada beberapa anak PD yang berbakat namun terpaksa berkelana ke kelab-kelab luar untuk bermain di Piala Presiden dan Liga Super,”

Kini kita lihat semakin banyak pasukan bola sepak yang ditubuhkan dan ini merupakan satu petanda yang bagus dalam melahirkan lebih banyak pemain-pemain yang berkualiti.

PD United juga menjalankan jualan merchandise kelab mereka tersendiri misalnya baju jersi dan segala maklumat lanjut, kalian boleh terus melayari laman sosial milik mereka di Instagram dan juga Facebook.

“Setakat ini kami buka untuk pre-order jika para peminat bola sepak diluar sana berminat untuk mengikuti atau membeli merchandise kami, boleh terus ke laman sosial kami PD United di Instagram dan Facebook.”