Walaupun layak ke separuh akhir sasaran yang terlalu tinggi tapi saya yakin-Irfan Hafiz

200

Irfan Hafiz selaku ketua jurulatih Port Dickson United yakin anak buahnya mampu tampilkan persembahan yang baik pada musim pertama di M5 bagi membolehkan mereka layak ke peringkat separuh akhir.

PD United merupakan pasukan baru yang akan beraksi di Liga M5 dan bagi Irfan selaku ketua jurulatih kini sedang mempersiapkan para pemainnya untuk mempamerkan aksi terbaik sepanjang liga tersebut berlangsung.


Dengan kemunculan sulung mereka di M5 sudah pasti sudah ada sasaran yang diletakkan untuk memaksimakan usaha para pemain dan menurut ketua jurulatih mereka meletakkan pusingan separuh akhir sebagai destinasi pertama mereka musim ini.

“Sejujurnya untuk pertama kali kami di Liga M5 kami meletakkan sasaran untuk ke separuh akhir walaupun ia tertalu tinggi tetapi saya percaya dengan pemain yang sedia ada berdasarkan komitmen yang mereka beri tidak mustahil untuk melangkah ke perlawanan akhir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menguruskan sebuah pasukan bola sepak semestinya tidak mudah tambahan pula untuk menjadi seorang jurulatih di usia 23 tahun sudah tentu akan memberikan cabaran buat Irfan sendiri.

Namun usia dan pengalaman baginya bukan penghalang disamping beliau ingin menimba ilmu sambil menguruskan PD United yang turut memiliki barisan kejurulatihan dan pemain senior yang berpengalaman.

“Bagi saya, saya masih muda jadi pengalaman tidak begitu banyak akan tetapi saya akan cuba terapkan modern football dalam PD United walaupun kita tahu pasukan ini masih baru tetapi saya yakin dengan pengalaman saya dan jurulatih yang sedia ada boleh membantu pasukan ini daripada segi teknikal dan taktikal serta kita akan terapkan disiplin diri dalam pasukan PD united,”

Beliau juga memuji semangat pemain-pemain yang berada dalam skuad PD United apabila mereka sangat bersemangat untuk bermain di M5 dan ingin memberikan sehabis baik buat pasukan.

“Setakat ini untuk semua pemain PD United tidak ada sebarang masalah dan mereka betul-betul ingin bermain demi lencana di dada serta mereka menjadikan pasukan ini sebagai permulaan karier profesional mereka,”

Irfan yang ditemubual turut berharap bahawa pasukan PD United mampu menjadi sebuah pasukan Bintang suatu hari nanti meskipun ia bukan suatu yang mudah untuk dikecapi namun atas usaha dan komitmen para pemain sudah pasti satu hari nanti akan berhasil.

“Saya harapkan pasukan ini akan pergi lebih jauh kita mahu terapkan pasukan ini akan jadi salah satu pasukan Bintang walaupun kita tahu perkara ini perlukan proses namun saya percaya dengan kebolehan mereka dalam PD united perkara ini boleh jadi kenyataan.”