Pemain kita tidak percayakan diri apabila bertemu pasukan kuat – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui para pemain Harimau Malaya mempunyai sikap tidak percayakan diri yang boleh menjadi punca kekalahan kepada pasukan-pasukan besar.
Katanya, apabila berdepan dengan pasukan kuat, Malaysia biasanya akan berada di hadapan terlebih dahulu sebelum melepaskan gol akibat tidak percaya kepada diri.
“Apabila bertemu lawan yang kuat, kita bermula dengan baik, tetapi apabila kita jaringkan gol saya rasa pemain kita tidak percayakan diri mereka dan tidak yakin, selepas minit ke 75 hingga 90 kita selalu akan benarkan pihak lawan jaringkan gol.
Kita harus perbaiki perkara ini dan biasakan diri, mentaliti harus kuat dan yakin terhadap diri, jangan terkejut apabila berada di hadapan kemudian bergelut dan kalah,”
katanya.
Pan-gon berkata, kem kebangsaan pada September bertemu Syria dan China adalah amat penting sebelum saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 bermula masing-masing pada November dan Januari ini.
Jelasnya, ini adalah medan terbaik untuk menguji tahap anak-anak buahnya selepas lebih setahun di bawah bimbingannya.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa tidak banyak perubahan dalam senarai skuad yang akan dilakukan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 nanti.
“Saya rasa skuad ini selepas setahun kita nilai dan uji mereka, semua sudah tahu karakter, DNA serta falsafah pasukan ini, jadi agak bahaya jika kita lakukan banyak perubahan.
Ini bukan saat untuk lakukan percubaan tetapi ini adalah pentas sebenar, disebabkan panggilan kali ini amat penting.”
Beliau mengakui bermain di tempat lawan akan menjadi satu ujian yang mencabar buat pasukannya kerana suasana berbeza berbanding bermain di tempat sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ia adalah satu peluang keemasan buat para pemain membiasakan diri menjelang kedua-dua kejohanan tersebut.