Dalam bola sepak pasukan ranking rendah boleh tewaskan pasukan di ranking tinggi – Paulo Josue

342

Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue tidak melihat kedudukan ranking menjadi penghalang untuk pasukan Harimau Malaya memperoleh kemenangan apabila menentang pasukan dengan ranking lebih tinggi.

Menurut Paulo, dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan tiada yang mustahil.


“Ini adalah bola sepak, kadang-kala pasukan dari ranking rendah mampu menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi.

Saya rasa kami sudah bersedia termasuk barisan kejurulatihan yang bersedia untuk berdepan cabaran, jadi kami menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang menarik,”

katanya.

Paulo adalah salah seorang daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China pada 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.

Beliau juga berharap dapat meneruskan momentum cemerlangnya bersama skuad negara sebelum ini pada perlawanan akan datang nanti, namun menyedari tugas sukar menanti beliau dan rakan sepasukan.

“Latihan untuk skuad negara berbeza dengan kelab, jadi kami perlu bersedia kerana jurulatih demand tinggi dalam setiap sesi latihan, jadi pemain yang berada dalam kem ini perlu sedar bahawa mereka adalah yang terbaik di negara ketika ini.

Oleh itu setiap pemain perlu pastikan kita dapat bantu pasukan untuk memperoleh keputusan positif.”

Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu teruja kerana minggu ini adalah istimewa buat dirinya apabila menyambut sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-66 buat pertama kali sebagai warganegara.

“Ia adalah minggu yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia termasuk diri saya sendiri. Jika kami dapat beri hadiah, kemenangan adalah hadiah terbaik kepada semua peminat yang sentiasa menyokong kami.”