Bayar pengadil ikut kepakaran dan kualiti yang dimiliki

741

Beberapa hari lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuatnaik satu hantaran mengenai pengadil-pengadil yang sedang mengikuti latihan pengendalian teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) sebagai langkah persiapan awal pelaksanaannya di Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, teknologi itu dijangka diguna pakai dalam saingan Liga Malaysia bermula musim depan.


Ini adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak FAM dan MFL dalam memastikan mutu pengadilan di Liga Malaysia semakin meningkat seiring dengan tahap liga itu sendiri.

Peminat pastinya sudah muak dengan kontroversi melibatkan keputusan pengadil yang sejak sekian lama menghantui saingan Liga Malaysia.

Justeru, usaha ini dilihat sebagai satu perkara yang mampu mengangkat Liga Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengadil, FAM mungkin boleh memperkenalkan insentif buat pengadil-pengadil yang memilki lesen atau kepakaran tertentu untuk memberi motivasi kepada pengadil lain.

Contohnya, pengadil yang mempunyai kelayakan mengendalikan teknologi VAR, pengadil yang bertaraf FIFA dan lain-lain kelayakan diberi bayaran tambahan, selain daripada elaun sedia ada, untuk menghargai kepakaran mereka.

Ini boleh mewujudkan saingan sihat dalam kalangan pengadil, dan mungkin membuatkan ramai yang berlumba-lumba mempertingkatkan kemahiran mereka dengan mempelajari kursus-kursus tertentu.

Dengan ini, mungkin lebih ramai individu di luar sana yang berminat untuk berkecimpung dalam dunia pengadilan, dan semakin ramai pengadil tempatan yang berkualiti akan dilahirkan.

Mungkin bayaran yang tidak seberapa yang diterima oleh para pengadil tempatan ketika ini menyebabkan mereka mudah untuk membuat kesilapan.

Selain itu, pengadil yang mempunyai rekod yang baik dalam mengadili perlawnaan juga boleh diberikan ‘bonus’ sebagai penghargaan kepada mereka.

Ini boleh memastikan setiap pengadil berusaha mengadili setiap perlawanan sebaik mungkin dan mengurangkan kesilapan apabila bertugas.

Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kualiti para pengadil di Malaysia kerana semua orang berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik.

Ibarat pemain bola sepak yang diberikan bonus tertentu apabila mereka mendapat pencapaian tertentu, ia juga boleh dipraktikkan kepada pengadil-pengadil tempatan.