Kelayakan Piala Asia B-23 2024 umpama ‘final exam’ untuk skuad B-23 – Sikh Izhan

167

Penjaga gol pasukan kebangsaan B-23, Sikh Izhan Nazrel berkata kejohanan kelayakan Piala Asia B-23 2024 adalah umpama peperiksaan akhir pasukan skuad Harimau Muda.

Menurut Sikh Izhan, pasukan sudah mempunyai pengalaman ketika beraksi di Sukan SEA dan Piala AFF memberi mereka banyak pengajaran untuk mendapatkan keputusan positif pada kelayakan nanti terutamanya apabila menentang Thailand.


“Bagi saya ini adalah final exam untuk skuad B-23 kerana kita sudah jumpa Thailand di Sukan SEA dan Piala AFF jadi kita ada beberapa pelajaran jadi kita tak boleh tewas apabila bertemu mereka nanti,”

katanya.

Skuad kendalian E. Elavarasan telah diundi dalam Kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand.

Harimau Muda akan memulakan kempen mereka pada 6 September ini bertemu Bangladesh, Filipina pada 9 September dan Thailand pada 12 September.

Dalam pada itu, penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC) mengakui pemain-pemain yang dipanggil kali ini adalah pemain yang terbaik.

“Saya rasa pemain yang dipanggil kali ini adalah yang terbaik. Mungkin kita tak dapat keputusan yang baik di dua kejohanan besar Sukan SEA dan Piala AFF sebelum ini, jadi saya harap kita akan layak dan kemudian sasar untuk ke Sukan Olimpik.”

Sementara itu, Sikh berkata beliau sudah bersedia sepenuhnya sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi nanti dan akan memberikan yang terbaik buat pasukan.

“Saya bersedia jika diberi peluang dan memberikan yang terbaik. Seperti yang saya cakap tadi, saya tak risau dengan ketiga-tiga penjaga gol kerana kesemua penjaga gol berkualiti dan berada pada prestasi terbaik ketika ini.”