Perlawanan menentang Syria & China akan uji kekuatan sebenar kita – Brendan Gan
Pemain pasukan kebangsaan, Brendan Gan memberitahu perlawanan menentang pasukan di ranking tinggi seperti Syria dan China adalah sesuatu yang perlu untuk menguji kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi kelayakan Piala Dunia 2026 dan kejohanan Piala Asia 2023.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami, tapi itulah yang kami perlu kerana kami bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia dan membuat persiapan untuk kejohanan Piala Asia 2023 juga.
Jadi ini adalah perlawanan yang kami perlu main untuk menguji kekuatan sebenar kami bukan hanya individu tetapi sebagai sepasukan dan melihat kekuatan dan kelemahan yang mana ia akan diguna oleh barisan kejurulatihan untuk buat perancangan apa yang perlu dipertingkatkan,”
katanya.
Skuad kendalian Kim Pan-gon akan terbang ke Chengdu, China bagi mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan tuan rumah China pada 6 dan 9 September ini.
Dalam pada itu, pemain Selangor FC itu juga mengakui pasukan berdepan cabaran besar apabila bermain di tempat lawan tetapi mereka perlu membiasakan diri dengan situasi seperti itu kerana pada Piala Asia nanti mereka akan bermain di Doha, Qatar.
“Pada Piala Asia nanti kita akan bermain di luar negara juga dengan keadaan padang yang berbeza dan ia adalah peluang untuk biasakan diri dengan tekanan bermain di luar negara dan berharap dapat memperoleh keputusan positif untuk membanggakan penyokong Malaysia.”
Beliau pada masa sama turut berkata pemain-pemain yang berada dalam skuad negara ketika ini adalah yang terbaik dan mampu beri keputusan positif.
Sementara itu, Brendan juga menegaskan bahawa beliau sentiasa bersedia dan tiada masalah untuk diturun untuk beraksi di mana-mana posisi yang dikehendaki oleh ketua jurulatih.
“Untuk bermain di posisi lain lagi saya tak pasti kerana kena tanya ketua jurulatih tapi saya bersedia untuk bermain di mana-mana posisi. Jika perlu sarung glove, saya akan sarung glove.”
Terdahulu pada kejohanan Piala AFF edisi lalu telah menyaksikan beliau yang bermain di posisi tengah diarahkan untuk bermain di posisi pertahanan tengah selepas skuad negara kekurangan pemain pertanan dek kecederaan.
Biarpun bermain di posisi berbeza dari posisi asalnya, Brendan telah memperlihatkan kematangannya apabila mempamerkan aksi yang cukup cemerlang dan mendapat pujian daripada penyokong.