Tidak hanya gah dalam bola sepak, Red Giants turut gah dalam dunia e-sukan
E-sukan kini merupakan sukan yang kian mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di seluruh dunia terutamanya di rantau Asia Tenggara ketika ini.
Malaysia antara yang tidak terkecuali apabila memperlihatkan semakin hari semakin ramai yang mengikuti perkembangan e-sukan di Malaysia terutamanya Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) yang kini menjadi fenomena.
MPL Malaysia kini sudah memasuki musim ke-12 dengan saingan sudah memasuki minggu ketiga dan apa yang menarik kali ini adalah memperlihatkan penguasaan Selangor Red Giants mendahului carta liga walaupun baru sahaja tewas kepada RSG MY.
Bagi yang mengikuti rapat perkembangan MPL Malaysia pastinya kagum dengan prestasi yang dipamerkan oleh Red Giants kerana musim ini adalah musim kedua dan mereka sudah pun memperlihatkan kehebatan mereka.
Gelaran King of Malaya dalam sukan bola sepak nampaknya dibawa ke pentas e-sukan, namun persoalannya kini adakah mereka mampu mempertahankan kedudukan di puncak liga sehingga hujung musim ini untuk menjulang kejuaraan sulung mereka?
Ini kerana ketika ini mereka diikuti rapat oleh Team SMG yang berada di kedudukan kedua dan Homebois yang berada di tangga ketiga liga berkongsi mata dengan RSG MY.
Biarpun saingan liga masih awal, tetapi banyak kejutan yang sudah berlaku termasuk juara bertahan TODAK yang dilihat bergelut untuk memulakan saingan liga dengan langkah kanan.
Dalam pada itu, pujian harus diberikan kepada pihak pengurusan Selangor FC kerana bijak dalam melebarkan sayap mereka dalam dunia e-sukan yang mana ia boleh dikatakan antara sukan yang mempunyai potensi yang cukup besar untuk masa hadapan.
Malah mereka juga menjadi satu-satunya kelab bola sepak yang mempunyai pasukan di pentas MPL Malaysia.
Tidak hanya gah di MPL Malaysia, Red Giants juga gah dalam saingan Liga Super apabila berada di tangga kedua liga dan sekiranya mereka terus konsisten sehingga hujung musim ini, mereka berpeluang untuk kembali beraksi di pentas Asia pada musim hadapan.
Dengan penyertaan Selangor dalam MPL Malaysia diharap dapat memberi inspirasi kepada kelab-kelab bola sepak lain seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA), Perak FC, Sri Pahang FC dan lain-lain untuk turut sama mengikut jejak langkah sama.
Sekiranya banyak kelab mempunyai pasukan dalam MPL Malaysia, ia secara tidak langsung akan terus meningkatkan nilai komersial liga selain akan menaikkan lagi kualiti sekaligus berpeluang untuk beraksi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.
Suka atau tidak, e-sukan adalah sukan masa hadapan yang mana ia bukan sahaja menarik minat pelbagai lapisan usia, tetapi ia menawarkan wang hadiah yang cukup lumayan.