Perlawanan menentang China nanti kami akan terus bermain secara menyerang – Kim Pan-gon

1,021

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon nyata gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh pemain-pemainnya apabila berjaya membuat kebangkitan pada separuh masa kedua untuk mengikat Syria 2-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China sebentar tadi.

Menurut Pan-gon, beliau berpuas hati dengan persembahan pada separuh masa pertama walaupun ketinggalan 2-0 dek kesilapan sendiri.


“Ia adalah keputusan yang bagus yang mana kami ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama, tapi kami berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada separuh masa kedua untuk mengembalikan keyakinan kami di atas padang.

Secara keseluruhan pada pandangan say akita beraksi dengan cukup baik sekali dan berjaya mengimbangi permainan dengan pasukan yang berada di ranking ke-90 dunia. Cuma dua kesilapan pada separuh masa pertama menyebabkan kita ketinggalan.

Pada separuh masa kedua kita telah pamerkan mentaliti sebenar Harimau Malaya untuk bangkit dan mengikat kedudukan,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut memberi pujian kepada pemain-pemain gantian yang dimasukkan kerana bukan sahaja mempamerkan aksi yang bertenaga, tetapi juga berjaya mengubah permainan.

Dalam pada itu, skuad negara selepas ini akan bertemu tuan rumah China pula pada 9 September ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut berkata, walaupun China berada di kedudukan ke-81 dunia, beliau akan mencuba beberapa taktikal baru.

“Untuk perlawanan menentang China, kami mahu mencuba beberapa taktikal baru dan juga kami menguji pasukan yang berada di ranking 81 dunia untuk menilai tahap sebenar pasukan kami.

Kami akan terus bermain dengan corak menyerang. Karakter skuad negara adalah agresif, sentiasa beri tekanan dan sentiasa beri yang terbaik untuk menang bagi memberi keputusan terbaik untuk peminat.”