Kim Min-jae wakil tunggal Asia dalam Ballon d’Or 2023, cabaran buat barisan serangan Malaysia di Piala Asia

259

France Football telah mengeluarkan senarai 30 nama calon bagi anugerah Ballon d’Or 2023 yang akan diketahui pemenangnya pada 30 Oktober depan.

Daripada senarai 30 pemain tersebut, hanya seorang wakil daripada Asia terpilih iaitu pemain pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae.


Penyenaraian namanya sememangnya sudah dijangka kerana beliau merupakan watak penting buat Napoli menjulang kejuaraan Seria A musim lalu, sehingga menarik perhatian Bayern Munich untuk menandatanganinya.

Selain itu, beliau juga menjadi antara tiga pertahanan yang tercalon pada edisi kali ini, dan juga pertahanan Asia pertama yang tercalon dalam anugerah berprestij itu.

Ini membuktikan bahawa beliau boleh dianggap sebagai salah seorang pertahanan terbaik di dunia pada ketika ini.

Min-jae bakal menjadi tulang belakang buat pasukan Korea Selatan dalam menghadapi saingan Piala Asia 2023 Januari depan.

Malaysia yang diundi bersama-sama Korea Selatan dalam Kumpulan E pastinya bakal menghadapi kesukaran untuk membolosi benteng pertahanan pasukan itu yang akan dijaga rapi Min-jae.

Justeru, barisan serangan Malaysia perlu membuat persediaan daripada sekarang lagi untuk berdepan dengan pemain yang dikenali dengan gaya permainan yang agresif itu.

Namun, segala-galanya tidak mustahil kerana Malaysia sendiri pernah mencatatkan kemenangan ke atas pasukan Korea Selatan yang diketuai oleh Min-jae ketika Sukan Asia 2018.

Apa-apa pun, penyenaraian Min-jae dalam senarai 30 calon Ballon d’Or itu adalah satu pencapaian yang membanggakan buat benua Asia sendiri.

Beliau memastikan benua Asia terus mempunyai wakil selepas rakan senegaranya, Son Heung-min juga tercalon pada edisi tahun lalu, dan berada di kedudukan ke-11 dalam undian akhir.