Tertutup dengan kelibat pemain import, masih tiada pengganti ‘freekick’ seperti Safiq Rahim dan Badri Radzi
Kerancakan bola sepak tempatan sudah pasti kini tertumpu dengan saingan persahabatan skuad Harimau Malaya di China dan pasukan B-23 tahun yang beraksi untuk kelayakan Piala Asia B-23 tahun Qatar.
Melihat kepada tendangan kencang pemain muda negara Alif Izwan yang menerjah gawang gol pasukan Bangladesh semalam sudah pasti mengingatkan kita bahawa semakin berkurang kaki-kaki pemain tempatan yang mampu membuat tendangan deras terutama dalam situasi sepakan percuma.
Jika dilihat satu masa dahulu pemain-pemain tempatan kita ramai yang mahir dalam mengambil sepakan percuma baik semasa bermain di liga domestik, perlawanan peringkat antarabangsa mahupun menentang kelab-kelab ternama dari Liga Perdana Inggeris.
Sepakan percuma adalah satu aspek penting dalam setiap permainan bola sepak yang mana ia bukan hanya menyediakan peluang untuk mencipta gol, tetapi juga memberikan kelebihan taktikal yang dapat merubah aliran permainan akan tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah mengalami penurunan jumlah pemain yang mahir dalam aspek ini.
Antara pemain-pemain yang berkemahiran tinggi dalam sepakan percuma dahulu adalah Baddrol Bahtiar daripada Kedah, Badri Radzi bekas ketua pasukan Kelantan, Hafiz Kamal semasa di Pahang FA, Indra Putra Mahyudin dan yang paling melekat di ingatan para peminat bola sepak semestinya Safiq Rahim.
Safiq Rahim antara individu yang memiliki rekod jaringan daripada sepakan percuma yang banyak dan tidak terlupakan oleh peminat bola sepak tanah air.
Beliau juga pernah menjaringkan sepakan percuma ketika berdepan dengan skuad Liverpool pada tahun 2011 lalu semasa jelajah pra-musim gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut ke Asia Tenggara dengan keputusan Malaysia tewas 3-6.
Selain itu, berkata tentang Badri Radzi beliau antara yang cukup gemar menjaringkan gol melalui sepakan percuma dan beliau sendiri memiliki kepakaran dalam membuat hantaran jauh sekaligus menjadi watak penting dalam skuad bola sepak Kelantan FA ketika itu.
Namun kini semakin hari pemain-pemain tempatan semakin hilang pemain-pemain yang begitu menonjol dalam menunjukkan kemahiran mereka dalam menyempurnakan sepakan percuma ini.
Jika dilihat dalam saingan di Liga Super Malaysia pemain-pemain tempatan sering dibayangi dengan kelibat pemain import yang rata-rata mempunyai kepakaran dalam teknik tendangan tersebut.
Hal ini akan menjejaskan kualiti dan mengurangkan kuantiti pemain-pemain yang boleh menjaringkan gol dari situasi bola mati seperti yang kita miliki dahulu.
Oleh yang demikian, Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak berkuasa sukan negeri perlu bekerjasama untuk meningkatkan Pembangunan dalam diri pemain untuk mahir dalam teknik sepakan percuma.
Mereka harus menggalakkan sekolah-sekolah untuk menjalankan program latihan sepakan percuma yang lebih berfokus, dan juga melabur dalam infrastruktur yang sesuai untuk latihan.
Selain daripada itu, pihak berkuasa bola sepak perlu menjalinkan kerjasama dengan pasukan-pasukan bola sepak profesional dan mantan pemain terkenal yang mahir dalam sepakan percuma untuk memberikan latihan dan bimbingan kepada pemain mudaI sekaligus akan membantu memupuk bakat-bakat muda yang berpotensi dalam bidang ini.
Sebagai seorang peminat bola sepak, sudah pasti kita inginkan pemain-pemain muda tempatan yang berkebolehan menampilkan corak permainan yang kemas dan mahir dalam teknik sepakan situasi bola mati.
Diharapkan dalam tempoh beberapa tahun ini layer bola sepak dalam negara kembali diserikan dengan pemain-pemain tempatan yang memiliki kemahiran tersebut.