SPRM, KBS dan MESF perlu berganding bahu bendung isu rasuah dalam industri E-sukan
Apa jua jenis sukan yang ada di dunia ini memang tidak akan lari daripada terlibat dengan perbuatan rasuah termasuklah juga E-sukan yang merupakan sebuah industri baru sedang meningkat naik terutama dalam penggunaan teknologi.
Isu rasuah dalam platform E-sukan ini bukan sesuatu yang baik buat pembangunan industri ini terutama atlet atau pemain yang berada dalam industri ini rata-rata masih diperingkat usia muda dan tidak mempunyai pengalaman dalam memahami isu ini.
Tambahan pula rasuah yang berlaku dalam bidang adalah menggunakan transaksi digital yang menyukarkan pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjejaki setiap transaksi yang dilakukan.
Hal ini menggusarkan buat industri E-sukan di tanah air kerana kita baru sahaja hendak membangunkan industri dan mahu berdiri seiring negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Singapura yang sudah jauh melangkah dalam bidang ini.
Selain itu dengan kehadiran rasuah dalam kancah E-sukan ini sendiri akan membantutkan kemajuan prospek-prospek negara yang sehingga hari ini banyak memberikan manfaat dan kejayaan buat kontijen Malaysia seperti dalam permainan Mobile Legends, Pubg Mobile, Valorant dan Dota 2.
Rasuah sememangnya satu bentuk jenayah yang bakal merosakkan wajah E-sukan negara di samping ia turut akan mensia-siakan segala usaha kerajaan sebelum ini yang telah memberikan sokongan yang padu dalam memastikan segala yang diperlukan untuk membangunkan industri ini dipenuhi.
Kesatuan E-sukan Malaysia (MESF) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama berganding bahu seharusnya memberikan perhatian yang lebih khusus untuk menyekat segala perbuatan yang mampu menuju ke arah perbuatan rasuah tersebut.
Jika perkara ini benar-benar berlaku Malaysia akan mengalami kerugian yang agak besar disebabkan sehingga kini industri ini semakin hari semakin meningkat dan mengembang disebabkan berlaku peningkatan komunitinya saban tahun.
Oleh yang demikian, diharapkan perkara ini dapat dibendung oleh SPRM dan badan-badan yang berkaitan utk memastikan semua industri sukan dalam negara bebas daripada perbuatan keji rasuah ini agar atlet dapat fokus dan memberikan yang terbaik untuk negara.