Saya masih belum berputus asa untuk bermain di Liga Super – Mathias Mansor

420

Bekas pemain tengah Kelantan FC, Mathias Mansor akui masih belum berputus asa untuk kembali ke pentas profesional namun disebabkan masalah teknikal berkenaan kontraknya sebelum ini bersama The Red Warrior memaksa beliau melupakan sebentar impiannya dan terjun ke bidang kejurulatihan.

Selepas meninggalkan TRW musim lalu, Mathias menceburi bidang kejurulatihan dan sehingga kini beliau berkhidmat sebagai jurulatih di akademi Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) dan jurulatih peribadi dibawah Tekkers Club.


Menurut Mathias akibat daripada beberapa masalah teknikal berkaitan kontraknya menjadi faktor utama yang mengekang kemaraannya dalam meneruskan perjalanan dalam karier bola sepak profesionalnya di Malaysia.

“Selepas 3 tahun bermain di liga Malaysia bersama pasukan PKNS, Kelantan United, Sarawak dan terakhir bersama Kelantan FC tahun lepas saya mengalami masalah kontrak yang menyebabkan tahun ini saya gagal untuk menandatangani dengan mana-mana pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang kini yang tidak mempunyai pasukan untuk bersaing di Liga Super Malaysia mengambil inisiatif untuk menceburi bidang kejurulatihan di samping mencari rezeki beliau masih bersemangat untuk berkecimpung dalam industri yang sama iaitu bola sepak.

“Buat masa sekarang saya sedang cuba untuk cari duit dan mencuba benda baru bukan sudah berputus asa sedangkan menjadi jurulatih juga masih dalam bidang bola sepak, jadi saya harap juga akan dapat peluang untuk kembali mendapatkan kontrak pada masa hadapan,”

Meskipun bermula baik bermain bersama kelab profesional di Malaysia namun beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat meneruskan kariernya dan beranggapan semua yang berlaku ini bukan sesuatu yang mudah.

Mathias yakin beliau masih lagi releven dan mampu untuk memberi saingan di liga profesional sekiranya beliau mendapat peluang untuk kembali bermain dalam Liga Super Malaysia seperti sebelum ini.

“Saya kecewa dengan diri saya dan banyak perkara yang sukar untuk diluahkan tetapi perkara ini bukan suatu yang mudah,”

“Saya juga berharap dapat kembali ke peringkat profesional kerana saya yakin dengan diri saya untuk pamerkan aksi yang lebih baik di peringkat tersebut.”