Kuwait boleh jinakkan Bahrain, tidak mustahil buat Malaysia untuk balas dendam pada Piala Asia 2023
Lawan Malaysia pada peringkat kumpulan Piala Asia 2023 nanti, Bahrain menerima kejutan pada perlawanan persahabatan menentang Kuwait semalam apabila tewas 3-1.
Walaupun kedudukan Bahrain di ranking FIFA lebih tinggi iaitu 86, berbanding Kuwait di ranking 137, ia tidak menjadi penghalang buat Kuwait untuk mencatat kemenangan.
Kemenangan Kuwait ini dapat membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dan Malaysia juga mampu melakukan perkara yang sama pada Piala Asia 2023 nanti, lebih-lebih lagi Malaysia berada satu ranking lebih tinggi berbanding Kuwait.
Pada Kelayakan Piala Asia 2023 tahun lalu, Malaysia tewas 2-1 kepada Bahrain pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Justeru, ini boleh dijadikan pembakar semangat buat anak buah Kim Pan-gon membalas dendam pada Piala Asia 2023 nanti.
Sementara itu, satu lagi lawan Malaysia dalam Kumpulan E iaitu Jordan pula dibelasah 6-0 oleh Norway dalam aksi persahabatan semalam.
Jordan yang turut dibarisi dua pemain Selangor, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh gagal mengekang kekuatan Norway walaupun beraksi tanpa penyerang utama, Erling Haaland.
Walaubagaimanapun, ia pastinya satu ujian yang baik buat Jordan sebagai persiapan untuk ke Piala Asia 2023 dengan berdepan pasukan kuat dan dibarisi beberapa bintang handalan dunia seperti Norway.
Dalam satu lagi aksi persahabatan, pasukan pilihan dalam Kumpulan E iaitu Korea Selatan diikat 0-0 oleh Wales.
Ini bermakna, pengendali Korea Selatan yang dilantik pada Februari lalu, Jurgen Klinsmann masih menanti kemenangan pertamanya selepas mencatatkan tiga seri dan dua kekalahan sejak mengambil alih.
Mungkin para pemain masih lagi belum cocok dengan gaya permainan yang mahu ditampilkan oleh Klinsmann.
Namun di saat saingan Piala Asia 2023 sudah semakin mendekati, sudah pasti mereka perlu segera mendapatkan kemenangan pertama bagi mendapatkan momentum positif selain motivasi untuk meraih kejuaraan Piala Asia ketiga mereka.