Tak sangka video saya berlatih bola sepak beri inspirasi kepada orang – Aqil Farhan

TikToker bola sepak, Aqil Farhan tidak menyangka hobinya untuk merekod dirinya berlatih mendapat sambutan orang ramai.
Katanya, ketika mula memuat naik video berlatih di laman TikTok, jumlah tontonan bagi satu videonya hanyalah sekadar beberapa orang saja.
“Saya bermula selepas PKP, ketika itu tiada pasukan yang jalankan sesi latihan jadi saya berlatih bersendirian dan memuat naik video saya berlatih di TikTok.
Pada mulanya jumlah tontonan memang sedikit dalam enam atau tujuh orang untuk satu video, dan pada tahun lalu jumlah pengikut saya menaik kepada 10 ribu, dan tahun ini saya tidak sangka sudah capai 62.4 ribu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Aqil berkata, beliau pada mulanya merekod dirinya berlatih kerana mahu melihat apa yang perlu diperbaiki daripda sesi latihan.
Tambahnya, beliau terharu apabila ada orang yang datang kepadanya ketika di luar dan memberi kata-kata positif.
“Saya tak sangka apabila saya sedang berlatih ada orang yang datang dan berkata bahawa saya memberi inspirasi buatnya.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya.”
Nasihat Aqil kepada individu di luar sana yang mahu menjadi content creator supaya mengabaikan kata-kata negatif dan teruskan dengan niat mereka.
Beliau yang mengidolakan Mokhtar Dahari dan Cristiano Ronaldo berharap sasarannya untuk bermain bola sepak secara profesional akan tercapai dalam tempoh empat tahun lagi.
Aqil ketika ini bermain bersama pasukan Harini FT B-23 untuk Liga Bola Sepak FAS.