Ultras ini wujud tanda sokongan, tidak memudaratkan sesiapa pun – Daddyhood
Kemunculan penyokong fanatik atau ultras dalam senario e-sukan terutama di Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) acap kali dikritik oleh netizen yang berpendapat ia sekadar permainan video dan tidak perlu terlampau beria.
Namun buat Daddyhood iaitu pengasas pasukan Homebois menganggap ultras ini sekadar cara peminat meluahkan sokongan mereka kepada pasukan yang diminati dan tidak menyakitkan hati mana-mana pihak.
“Ini semua atas pemikiran mereka sama ada nak tentukan mereka ini kelab penyokong ke atau Ultras ke kita tidak boleh puaskan hati semua orang,”
“Jadi tugas mereka hanyalah menyokong pasukan kegemaran dan jika mereka memberi sokongan dengan cara demikian biarkan, mereka tidak memudaratkan siapa-siapa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam temubual yang sama, pemilik perniagaan itu juga agak kecewa dengan corak permainan pasukannya dalam perlawanan minggu kedua yang lalu namun selepas membuat post mortem akhirnya mereka sedar dan berjaya kembalikan konsitensi dalam minggu ketiga dan keempat.
“Minggu kedua kita tidak bermain dengan corak permainan sebenar kita secara jujurnya kerana kita tidak fokus namun dalam minggu ketiga dan keempat kita sudah mula dengan sangat baik,”
Beliau juga memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Pabz iaitu jurulatih pasukan Homebois untuk mengatur segala strategi namun masih memantau persiapan mereka dari mula latihan sehingga tamat.
“Dari segi pemilihan pemain dan draf dalam permainan semuanya saya beri kepercayaan kepada jurulatih namun saya sentiasa ada dalam setiap sesi latihan mereka walaupun ambil masa lapan ke sembilan jam latihan saya akan bekerja untuk memantau mereka,”
Konsistensi yang ditonjolkan Homebois sedikit sebanyak menghidupkan kembali peluang mereka bagi melayakan di ke kejohanan dunia M5 hujung tahun ini.
Bagi Daddyhood sendiri beliau mengidamkan kejuaraan di MPL MY musim ini bersama Homebois memandangkan mereka belum pernah berjaya mencium trofi kemenangan sepanjang penyertaannya.
“InsyaAllah kita bukan sahaja nak melayakkan diri ke M5, saya mahu Homebois menjadi juara MPL MY musim ini hasil daripada persiapan dan kesungguhan barisan pemain kita.”