Tidak bermain lebih dua bulan datang latihan empat hari dan bermain perlawanan antarabangsa, mustahil – Soleen Al-Zoubi

74

Jurulatih bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al Zoubi tegas mahu para pemain sentiasa bersedia dan dalam keadaan tubuh yang cergas supaya apabila dipanggil ke dalam skuad kebangsaan mereka tidak perlu mengambil masa lama untuk membuat persediaan.

Kali ini Soleen melihat cabaran perlawanan persahabatan di Arab Saudi ini sebagai satu platform untuk pasukan kebangsaan mempamerkan aksi sebenar mereka yang mana tidak dapat ditonjolkan semasa Sukan Sea yang lalu akibat bermain dengan pasukan dengan ranking yang lebih tinggi.


Dalam pada itu juga, kehadiran Liga Wanita Nasional tahun ini membuatkan tugas barisan jurulatih menjadi lebih mudah disebabkan para pemain yang dipanggilkan ke skuad kebangsaan kali ini semuanya sudah bersiap sedia dan cergas disebabkan turun bermain dalam perlawanan liga yang dimainkan.

“Jika mereka tidak bermain di LWN mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan bersedia dan seperti yang saya beritahu kepada pemain kita cuma ada empat hari sebelum ke sana dan para pemain yang bermain di liga mereka sentiasa bersedia disebabkan sering berlatih dan bermain bersama pasukan mereka,”

“Mana mungkin ada pemain yang tidak bermain bola selama dua bulan boleh datang dan berlatih selamat empat hari kemudian ke perlawanan antarabangsa, mustahil,”

katanya.

Selain itu juga, Soleen sendiri gembira apabila pasukan bimbingannya dapat bermain dengan pasukan yang setanding sekaligus dapat memberi peluang kepada para pemain menampilkan aksi sebenar mereka di atas padang.

“Ini masanya untuk kita dan para pemain untuk menunjukkan kemampuan sebenar sebab dahulu jijka bermain di Sukan Sea kita terlalu hormat dengan ranking dan corak permainan lawan namun ini merupakan pentas untuk para pemain menyinar,”

Meskipun berada dalam kalangan pasukan yang mempunyai ranking yang lebih tinggi daripada rata-rata pasukan yang bermain, bagi Soleen beliau mahu Malayan Tigress untuk menyerap segala tekanan yang dirasakan dan menampilkan corak permainan yang lebih baik ketika berasa di bawah tekanan.

“Bermain di sana satu penghormatan bagi kami disebabkan ranking kami adalah antara yang tertinggi namun ia juga akan bagi tekanan dan bagi saya tekanan itu suatu yang bagus kerana jika kita bermain di dalam tekanan kita akan belajar banyak untuk bermain dengan tekanan selain berlatih cara untuk hadapi tekanan tersebut,”

Skuad Malayan Tigress bakal menyertai Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi bakal berdepan dengan cabaran daripada Pakistan, Laos, Bhutan, Lebanon dan tuan rumah, Arab Saudi.

Menurut Soleen, saiz tubuh badan bukan satu ukuran untuk melihat sejauh mana kekuatan pasukan tersebut kerana segalanya terletak kepasa persiapan fizikal serta ketahanan mental para pemain itu sendiri.

“Bagi saya besar tidak bermaksud mereka kuat dan anda boleh jadi kecil tetapi sangat kuat jadi untuk masa sekarang saya mahua nak-anak buah saya kuatkan mental mereka dan jika mental mereka kuat semua jenis lawan mereka dapat hadapi.”