Nasib berbeza lawan Malaysia di Piala Asia 2023 pada aksi persahabatan antarabangsa kali ini

2,416

Tamat sudah aksi perlawanan persahabtan antarabangsa FIFA kali ini di mana Malaysia mencatatkan keputusan positif mengikat pasukan di ranking jauh lebih tinggi iaitu China (80) selepas turut mengikat Syria sebelum ini.

Turut sama mengadakan perlawanan persahabatan adalah tiga pasukan yang bakal bersaing di peringkat Kumpulan Piala Asia 2023 Januari depan iaitu Bahrain, Jordan dan Korea Selatan.


Bagaimanapun, jendela perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA kali ini bukanlah satu yang memberangsangkan buat Bahrain.

Selepas tewas kepada Kuwait tempoh hari, Bahrain diikat 1-1 oleh Turkmenistan, lawan yang mereka tewaskan ketika Kelayakan Piala Asia 2023 tahun lalu.

Ini pastinya satu persembahan yang tidak memberangsangkan jika diambil kira tahap kedua-dua pasukan itu, di mana Bahrain di ranking ke-86 manakala Tukrmenistan pula di ranking ke-138.

Sementara itu, Jordan juga seakan-akan menunjukkan penurunan prestasi menjelang saingan Piala Asia 2023 yang hanya berbaki lebih kurang empat bulan saja lagi.

Selepas kalah besar 6-0 kepada Norway sebelum ini, Jordan sekali lagi tewas di tangan Azerbaijan 2-1 dalam perlawanan pagi tadi.

Walaupun berada di ranking ke-82 dunia, Jordan yang dibarisi dua pemain Selangor, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh tidak dapat menghalang Azerbaijan yang berada di ranking ke-121 dunia untuk menang.

Satu lagi pasukan, Korea Selatan pula akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama di bawah jurulatih Jurgen Klinsmann apabila menang 1-0 ke atas Arab Saudi.

Ini merupakan perlawanan keenam Klinsmann sejak mengambil alih pasukan pada Februari lalu, walaubagaimanapun peminat Korea Selatan sudah tidak mempercayai kemampuan jurulatih tersebut.

Ramai yang mahukan beliau berundur gara-gara keputusan yang dianggap tidak masuk akal, seperti menyediakan kem latihan di London, 460 kilometer dari stadium perlawanan.

Prestasi yang tidak menentu selain konflik yang melanda pasukan-pasukan yang sekumpulan pada Piala Asia 2023 ‘ibarat’ satu rahmat buat Malaysia, namun Malaysia juga harus terus mengekalkan prestasi baik pada jendela perlawanan persahabatan kali ini sehingga ke kejohanan itu.

Siapa tahu, selepas berjaya layak ke Piala Asia secara merit dalam tempoh 42 tahun, Malaysia mampu layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali dalam Sejarah.