E-sukan bidang yang kompetitif dan mudah untuk gejala rasuah merebak – Daddyhood
Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai Daddyhood akui isu rasuah boleh berkembang dengan mudah dalam komuniti e-sukan memandangkan ia satu industri yang sangat kompetitif masa kini.
Sebelum ini dikhabarkan industri e-sukan sudah mula diserang isu rasuah dan pihak berkuasa sudah mula untuk memerhati dengan lebih dekat sekaligus membendung perkara ini sebelum merebak dengan meluas.
Menurut Daddyhood sendiri isu rasuah ini ada di mana-mana dan bukan semata-mata dalam sukan dan segalanya tercetus jika ada individu yang memulakannya.
“Rasuah ini bukan hanya dalam e-sukan sahaja ia satu perkara yang sangat-sangat terbuka tidak kisah apa sahaja industri sukan mahupun pembangunan dan isu ini boleh tercetus jika ada individu yang memulakannya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang merupakan antara individu penting dalam industri e-sukan tempatan berharap semua rakan-rakannya dalam komuniti ini tidak terlibat dengan gejala ini sekaligus dapat membantu mengekalkan industri ini daripada amalan keji rasuah.
“Dan saya berharap isu rasuah ini tidak terpalit kepada rakan-rakan saya yang sedang berjuang untuk membangunkan industri e-sukan ini dan agar ia terus kekal sihat,”
Daddyhood yang sudah berkecimpung sejak awal kedatangan permainan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) turut mengulas sedikit sebanyak berkaitan kejatuhan sang raja Todak dalam saingan Mobile Legends Professional League Malaysia yang mana juara tiga kali itu kini di ambang penyingkiran untuk ke playoff.
“Saya akui Todak salah satu kuasa besar di kancah MLBB tempatan dan kenapa mereka merudum adalah disebabkan rombakan yang mereka lakukan tidak sejajar dengan apa yang para pemain perlukan sekaligus mereka tidak jelas dengan matlamat sebenar mereka musim ini,”
Merujuk kepada keadaan semasa Homebois, Daddyhood sememangnya pemilik pasukan yang berfikiran jauh dalam memastikan hala tuju pasukannya yang bukan sahaja sebagai pasukan e-sukan tetapi sebagai satu jenama yang mampu memecah pasaran antarabangsa.
Daddyhood yang dikenali dengan kebijaksanaannya dalam pemasaran menjelaskan bahawa pemasaran bagi setiap pasukan dalam saingan MPL MY sangat penting terutama untuk memberitahu kepada mereka di luar sana tentang matlamat dan kewujudan sukan ini.
“Sebenarnya marketing ini penting walau apa jua bidang sekalipun kerana ia berperanan untuk membuka mata kepada komuniti tentang kewujudan sukan ini,”
“Jika kita terlampau fokus kepada satu benda sahaja contohnya prestasi bukanya tidak penting tapi pemasaran penting dan penjualan jersi juga penting.”