Luqman Hakim perlu lebih minit permainan untuk realisasikan potensi diri

662

Skuad B-23 negara akhirnya menarik nafas lega apabila sah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan selepas menjadi pasukan keempat terbaik yang menduduki tempat kedua dalam pusingan kelayakan.

Walaupun layak, rata-rata peminat bola sepak tempatan tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buah E Elavarasan itu.


Selain daripada taktikal dan gaya permainan yang dianggap teruk, terdapat prestasi beberapa pemain yang dilihat tidak begitu memuaskan antaranya penyerang, Luqman Hakim.

Luqman yang beraksi bersama pasukan Iceland, Njardvik pinjaman dari pasukan KV Kortrijk dilihat gagal memberikan impak seperti yang diharapkan di bahagian serangan.

Sejak berpindah ke Eropah, Luqman dilihat gagal mendapat minit permainan yang mencukupi walaupun kini sudah berpindah ke liga yang lebih rendah bersama Njardvik.

Mungkin ia sedikit sebanyak memberi penagaruh kepada keyakinan dirinya untuk bermain apabila diturunkan ketika Kelayakan Piala Asia B-23 tersebut.

Boleh dikatakan gaya permainannya tidak begitu meyakinkan, dan kadang kala keputusan yang dilakukan tidak begitu tepat.

Dahulunya, beliau merupakan antara salah seorang pemain muda yang dianggap wonderkid dan bakal menjadi harapan negara.

Namun, ramai yang kini sudah mula mengkritik gaya permainan beliau yang dilihat semakin merudum.

Untuk rekod, kontraknya bersama KV Kortrijk akan tamat pada musim panad 2025, justeru beliau masih mempunyai kira-kira dua tahun lagi di Eropah.

Namun, sekiranya beliau terus tidak mendapat tempat dalam pasukan, mungkin adalah lebih baik sekiranya beliau kembali, mungkin secara pinjaman ke pasukan tempatan, untuk mendapatkan minit permainan.

Sekurang-kurangnya, beliau akan mendapat peluang untuk tampil lebih banyak bersama pasukan tempatan.

Luqman masih lagi muda dan mempunyai perjalanan karier yang panjang, namun sekiranya terus ‘diperam’ potensi yang dimiliki olehnya berisiko untuk dibazirkan begitu saja.