Penganjuran LTdL mampu lahirkan lebih ramai bakat baru – Hannah Yeoh

104

Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu penganjuran kejohanan berbasikal popular dunia Le Tour de Langkawi (LTdL) tidak hanya akan memberi nilai tambah kepada ekonomi negara tetapi juga akan memberi manfaat kepada golongan belia.

Menurut Hannah, penganjuran LTdL akan memberi ruang dan peluang kepada golongan beliau untuk turut menyaksikan kejohanan tersebut dan ia secara tidak langsung dapat mencetuskan rasa minat mereka terhadap sukan berbasikal.


“Manfaat bukan sahaja dari segi nilai ekonomi yang kita dapat bila kita anjurkan LTdL tapi untuk golongan belia.

Rakyat yang menonton itu akan melahirkan rasa minat terhadap sukan itu. Itu adalah paling utama untuk MSN (Majlis Sukan Negara) cari bakat.

Bila kita ada lebih ramai bakat Malaysia yang meminati sukan tersebut, bakat tersebut akan menjadi lebih besar,”

katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pengumuman Petronas sebagai Penaja Perdana Le Tour de Langkawi sebentar tadi.

Dalam pada itu, Hannah juga berasa lega dengan kehadiran Petronas sebagai penaja utama yang dapat melancarkan acara yang akan berlangsung hujung bulan ini.

“Sudah tentu saya berasa lega. Saya rasa manfaat MSN menjadi agensi pelaksana adalah ia memberi keyakinan kepada penaja kerana ia projek kerajaan dan merasa berasa lebih selesa untuk berunding dan memberikan komitmen.

Kita berharap tahun depan penajaan tersebut bukan sahaja datang dari nilai yang kita dapat tapi dari segi jumlah rakan kongsi yang kita dapat.”

Sementara itu, Hannah pada masa sama turut berkata pihaknya bercadang mahu memastikan pelajar-pelajar datang untuk menyaksikan LTdL menerusi program Rakan Muda.

“Tahun ini memang kita bercadang mahu pastikan pelajar datang untuk menyaksikan menerusi Rakan Muda supaya pulangan itu bukan dari segi kewangan tapi bakat untuk mengisi masa lapang remaja dan belia.”

LTdL 2023 akan melibatkan laluan di 11 negeri di Semenanjung kecuali Perlis dengan perlumbaan lapan peringkat bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur.