Perpindahan Suphanat Muenta ke Belgium, satu lagi bakat Asia Tenggara untuk tujuan pemasaran?
Pemain muda Thailand, Suphanat Muenta melengkapkan perpindahannya secara pinjaman ke pasukan Belgium, OH Leuven daripada Buriram United sehingga Jun 2024.
Perpindahan itu sebenarnya sudah dijangka sejak beberapa bulan lalu, selepas beliau dikatakan dihantar ke sana untuk memastikan dirinya mendapat permit kerja.
Sebelum ini, kelab EFL Championship, Leicester City dilaporkan berminat untuk menandatangani pemain itu selepas menampilkan aksi memberangsangkan ketika menjalani latihan bersama awal tahun ini.
Perpindahannya ke pasukan Belgium itu boleh menjadi satu peluang buat dirinya mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam karier atau sekadar menjadi satu persinggahan sementara.
Sebelum ini, sudah berapa ramai bakat dari Asia Tenggara yang disia-siakan apabila menyertai pasukan Eropah atau liga gergasi Asia seperti Nguyen Quang Hai yang sebelum ini menyertai pasukan Perancis, Pau FC, Safawi Rasid yang dipinjamkan ke Portimonense SC, dan juga Pratama Arhan yang pernah beraksi untuk Tokyo Verdy yang beraksi di J2 League.
Tidak mustahil Suphanat menerima nasib yang sama seperti pemain-pemain tersebut dan diperam oleh kelabnya.
Namun, tidak mustahil juga beliau mempu cemerlang seperti bintang Indonesia, Sandy Walsh yang turut beraksi di Liga Belgium bersama pasukan Mechelen.
Sekiranya beliau cemerlang, ia boleh menjadi langkah pertama buat dirinya untuk berpindah ke Leicester City, dan mencatat sejarah baharu buat bola sepak Thailand.