Kem latihan kali ini agak sukar tapi saya anggap ia sebagai satu cabaran – Najwa Irdina

136

Pemain bola sepak wanita negara, Najwa Irdina akui panggilan untuk kem latihan skuad kebangsaan kali ini agak sukar baginya disebabkan ramai pemain-pemain berpengalaman dan baru yang menunjukkan prestasi memberansangkan.

Beliau yang bermain mewakili Sekolah Sukan Malaysia Pahang dalam saingan Liga Wanita Nasional tahun ini antara pemain yang dikekalkan oleh Soleen Al Zoubi berdasarkan prestasi yang baik ketika mereka beraksi dalam Sukan Sea Kemboja yang lalu.


Menurut Najwa atau lebih mesra dikenali sebagai Wawa itu menganggap kedatangan pemain-pemain baru dan berpengalaman dalam kem latihan kali ini membuatkan beliau lebih bersemangat serta bermotivasi untuk memberikan persembahan terbaiknya di atas padang.

“Bagi saya agak susah untuk merebut tempat di kesebelasan utama dalam kem latihan kali ini kerana ramai pemain yang berpengalaman dan bagus tapi saya ambil itu sebagai satu cabaran untuk memotivasikan diri saya sekaligus memperbaiki diri saya untuk jadi lebih baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga, Wawa turut menegaskan bahawa beliau tidak merasa terbeban dengan status pemain tetap dalam skuad Soleen bagi setiap kejohanan namun lebih menganggap ia sebagai satu cabaran untuk memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

“Tidak menjadi beban tapi sebagai satu cabaran kepada saya bagi mendapatkan tempat di kesebelasan utama untuk kejohanan di Arab nanti,”

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Soleen memanggil kebanyakkan pemain yang berentap dalam saingan LWN disebabkan oleh faktor kecergasan dan minit permainan yang mereka miliki.

Bagi Wawa, beliau berpendapat bahawa pemain yang dipanggil dalam skuad kebangsaan kali ini tampak lebih solid disamping memiliki keserasian semasa di atas padang.

“Kem kali ini didatangi dengan ramai pemain baru yang mana mereka berpengalaman dan memahami segala taktik serta fundamental bola sepak jadi saya tidak risau kerana mereka semua bermain dengan baik,”

Beliau yang acap kali dipanggil menyarung jersi kebangsaan sudah arif dan faham dengan taktikal yang diterapkan oleh Soleen namun dalam kem kali ini Wawa dapati jurulatih lebih banyak memperbaiki kekurangan-kekurangan yang ada pada kami dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Bagi saya dari segi taktikal dan sesi latihan yang lain dengan rakan sepasukan yang baharu kami berjaya mengharunginya walaupun input yang kami terima lebih kurang sama dari kem-kem latihan sebelum ini tapi kami dapat tambah baik apa yang kurang,”