Malayan Tigress sudah bersedia untuk kejohanan di Arab Saudi – Dian Aqilah

141

Pemain muda Selangor FC, Dian Aqilah tidak mahu umurnya menjadi penghalang bagi beliau membuktikan bakat sebenarnya terutama apabila bermain bersama pemain-pemain senior.

Dian yang kini baru berusia 16 tahun akui ramai pemain-pemain yang boleh dikatakan bertaraf bintang dalam skuad kebangsaan kali ini namun beliau sendiri tidak mahu tenggelam dan akan cuba sebaik mungkin untuk menyerlahkan kemampuan sebenarnya.


“Bagi saya sekarang saya masih muda lagi dan jika diberi peluang untuk bermain dalam kejohanan kali ini saya akan berikan yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selepas tiga hari menghadiri latihan pusat bersama barisan jurulatih skuad wanita negara, Dian melihat para pemain sudah bersedia untuk menampilkan aksi yang terbaik sewaktu kejohanan di Arab Saudi nanti.

Bagi Dian sendiri beliau melihat, jurulatih Soleen bakal menerapkan aspek serangan dalam setiap taktikal yang dibina bagi menampilkan corak permainan yang lebih garang.

“Pasukan kami sudah bersedia dan kami akan cuba yang terbaik untuk kejohanan nanti,”

“Bagi saya untuk kejohanan kali ini coach Soleen berkemungkinan akan menerapkan taktikal combination play dan corak permainan menyerang,”

Dian turut berkongsi impiannya untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi seperti yang kini dilakukan oleh rakan seperjuangannya iaitu Azurin Mazlan yang kini sedang beraksi di luar negara.

“Mecca dan Azurin sememangnya antara pemain yang terbaik dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi seperti mereka satu hari nanti,”