Pemilihan pengadil ke Piala Asia sudah dipantau sejak 4 ke 5 tahun lalu – Subkhiddin Mohd Salleh
Pengadil bola sepak negara, Subkhiddin Mohd Salleh memuji para pengadil Malaysia yang telah terpilih bersamanya untuk mengadili kejohanan Piala Asia Qatar yang dijadualkan bermula tahun hadapan.
Subkhiddin yang ditemubual memberitahu ketiga-tiga pengadil yang bakal bersamanya ke Piala Asia iaitu Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantu pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan serta Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah dipantau sejak empat ke lima tahun lalu berdasarkan mutu pengadilan mereka.
“Pemantauan telah dibuat dalam tempoh 4 ke 5 tahun yang lalu, kita menunggu masa yang sesuai untuk mengetengahkan mereka seperti Nazmi nasaruddin misalnya yang sudah memulakan kariernya sejak peringkat umur remaja lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemilihan pengadil-pengadil Malaysia untuk ke Piala Asia kali ini dipantau melalui perlawanan-perlawanan yang diadili sewaktu di Liga Super dan perlawanan akhir sesebuah kejohanan.
Menurut Subkhiddin sendiri, perlawanan akhir ini diibaratkan satu batu loncatan buat para pengadil kerana dari sini mereka akan lebih mudah dikenali dan mendapat pendedahan yang lebih daripada pihak luar.
“Nazmi sebagai contoh yang pernah mengendalikan perlawanan akhir, ia ibarat batu loncatan buat dirinya kerana apabila sesebuah perlawanan akhir ini disiarkan ia akan ditonton daripada pelbagai negara dan dari situ beliau mula diketengahkan disebabkan kualiti yang dimiliki olehnya untuk mengawal perlawanan sebesar itu meskipun di peringkat usia muda,”
Menurut pengadil berpengalaman yang kini bertugas sebagai pakar teknikal di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memaklumkan para pengadil yang dipilih akan mempersiapkan diri mengikuti filosofi yang diterapkan oleh badan organisasi bola sepak Asia tersebut.
Pengadil-pengadil Malaysia yang terpilih ini telah dipantau oleh pakar-pakar teknikal daripada AFC yang melihat mereka mempunyai kriteria diperlukan untuk mengawal perlawanan dalam kejohanan di peringkat tertinggi Asia ini.
“Jika ingin berceritakan tentang kriteria ini banyak tetapi untuk fahaman yang jelas, pengadil-pengadil ini perlu ada kebijaksanaan dalam mengawal perlawanan, dapat menyerap segala tekanan dengan cepat ketika di atas padang, ketenangan dan juga dapat memberikan impak yang baik dalam perlawan-perlawanan yang diadili,”
Meskipun nama mereka sudah tertulis di dalam senarai untuk ke Piala Asia, pemantauan masih lagi berlangsung untuk memastikan para pengadil terus konsisten dan mereka boleh digugurkan sekiranya gagal mengekalkan tahap yang telah ditetapkan.
“Perkara ini boleh berlaku di mana nama sudah ada dalam senarai namun disebabkan insiden-insiden yang tidak diinginkan berlaku misalnya kecergasaan tidak mencapai tahap, kecederaan ataupun masalah peribadi yang melibatkan imej bola sepak akhirnya mereka disingkirkan,”
“Diharapkan para pengadil yang terpilih menjaga imej mereka dan berikan prestasi yang terbaik dalam beberapa siri kejohanan yang mereka sertai menjelang Piala Asia tahun hadapan.”
Beliau turut memuji pengadil-pengadil di Malaysia yang berani membawa pembaharuan dalam bola sepak Malaysia terutama mereka yang sering berkelanana keluar negara untuk mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi.