Gabungan pemain senior dan junior dapat bentuk sebuah skuad yang mantap – Eva Olivianie
Pemain pasukan kebangsaan wanita, Eva Olivianie Antinus memberitahu gabungan pemain senior dan junior dalam skuad Malayan Tigress kali ini mampu membentuk sebuah skuad yang mantap.
“Bagi saya senior memang banyk bantu dan tunjuk ajar kepada junior sebab mereka lebih berpengalaman dan mereka sangat membantu dalam segi panduan, arahan dan komunikasi,”
katanya.
Eva turut memberitahu beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk mendapat keserasian dengan pemain-pemain lain berikutan 14 daripada 20 pemain skuad Sukan SEA baru-baru ini turut bersama skuad kali ini.
“Setakat ini keserasian itu ada kerana hampir skuad asal dikekalkan jadi keserasian itu sudah ada jadi tiada masalah untuk semua pemain.”
Skuad kendalian Soleen Al-Zoubi terbang ke Arab Saudi bagi menghadapi kejohanan Women’s International Friendly yang akan berlangsung dari 18 hingga 30 September ini di Taif, Arab Saudi.
Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Arab Saudi dan Pakistan.
Kejohanan ini turut disertai pasukan lain seperti Laos, Bhutan dan Lebanon.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan skuad negara untuk sekurang-kurangnya berjaya mara ke separuh akhir dalam kejohanan kali ini.
“Sasaran kita sasar ke separuh akhir dan akan cuba berusaha untuk menang.”