Yang kecam saya tak dapat apa-apa, sekarang saya pula dah ada macam-macam – Mali Chan
Pemain posisi roamer Mpxnsea, Mali Chan tidak kisah dengan segala kecaman yang dilemparkan oleh netizen terutama mengenai bentuk badannya.
Mali Chan atau nama sebenarnya Muhammad Raziq merupakan antara pemain yang sudah berkecimpung lama dalam industri e-sukan terutama bagi permainan Mobile Legends Bang-Bang.
Beliau yang mula menyertai kancah profesional pada tahun 2021 sememangnya mempunyai banyak pengalaman dan akui sudah lali dengan segala kritikan tentang tubuh badannya yang besar selain cuba untuk sentiasa berfikiran positif.
“Biasalah badan besar ini memang orang akan kecam cakap gemuk dan sebagainya tetapi bagi saya mereka yang kecam saya itu tidak mendapat apa-apa sedangkan saya dekat sini dah dapat macam-macam,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kehadiran Mpxnsea dalam MPL MY musim ini sememangnya tidak begitu dipandang pada awalnya namun sehingga kini mereka antara pasukan yang menunjukkan prestasi memberansangkan dan berada di kedudukan pertengahan liga.
Menurut Mali Chan sendiri pasukan yang bersaing dalam MPL MY seharusnya memberikan perhatian khusus buat mereka memandangkan Mpxnsea antara pasukan yang berjaya menjatuhkan pasukan-pasukan dominasi dalam musim ini.
“Kami memang pasukan underdog tetapi pasukan-pasukan lain juga kena hormat kami sebab kami juga boleh jadi sebab mereka tak lepas ke M5,”
Mali Chan mendedahkan sebab dirinya masih kekal di MPL MY adalah kerana mahu melihat bakat-bakat muda menyerlahkan bakat mereka di samping ingin memimpin mereka menjadi pemain yang setaraf dengan mereka di pentas profesional.
“Untuk saya sebenarnya, saya kekal kerana saya suka untuk bawa bakat muda masuk ke dalam kancah MLBB ini kerana tidak semua orang boleh buat sebegitu dan saya bawa mereka daripada zero sehingga berjaya seperti pemain-pemain profesional yang lain.”
Mpxnsea malangnya hari ini terpaksa tunduk kepada pasukan Todak namun kedudukan mereka di tempat keenam liga tidak berubah sama sekali dengan pungutan sebanyak 10 mata selepas tujuh perlawanan mereka harungi musim ini.