Tahun 2021 hingga 2023 adalah tahun bergolak buat Penang FC – Jeffrey Chew
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew sedar bahawa penyokong pasukan itu tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan ketika ini.
Katanya, pada musim 2021 sehingga musim 2023, pasukan itu mengalami pergolakan namun mereka tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik.
“Pada pandangan peribadi saya, Penang adalah sebuah pasukan yang organik, kita patut buat perancangan jangka panjang untuk kestabilan pasukan dari tahun 2024, kerana dari tahun 2021 hingga 2023 ia adalah masa yang agak bergolak untuk pasukan.
Saya tahu penyokong juga agak tidak gembira dengan pasukan, saya faham tetapi kita harap mereka bersabar dan musim depan kita lihat bagaimana,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, rombakan dalam pasukan memang sentiasa dibuat sekiranya perlu, bergantung kepada perbincangan bersama Ahli Lembaga kelab.
Katanya, sama ada barisan kejurulatihan musim ini akan ditukar atau tidak, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama.
“Kami sentiasa melihat cara bagaimana kita boleh kekalkan barisan kejurulatihan yang bagus, contohnya buat masa ini skuad B-23 di bawha kendalian Akmal Rizal amat baik.
Di bawah Chong Yee Fatt, kita perlu buat beberapa ‘resetting’, jurulatiha baharu atau lama ia bergantung kepada perbincangan dalaman, ia bukan bergantung kepada saya sahaja tetapi juga Ahli Lembaga.”
Tambahnya, selain PDRM FC, Penang juga merupakan antara pasukan dengan bajet rendah dalam saingan Liga Super.
Justeru, beliau berkata pasukan itu perlu mencari satu formula untuk mencapai sasaran yang diletakkan.