An Najwa, Fariha Razak kagum dengan komuniti e-sukan

159

Pemain bola jaring negara, An Najwa dan Fariha Razak terkejut dan kagum dengan komuniti e-sukan di Malaysia yang cukup besar dan yakin e-sukan mampu berkembang dengan lebih besar lagi.

Najwa dan Fariha berkata demikian selepas hadir dalam majlis sambutan Hari Malaysia oleh Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil tadi.


“Kami sendiri tak jangka ia sebesar ini tapi kita tahu e-sukan ini mempunyai ramai peminat,”

ujar Najwa.

“Kalau lihat venue yang dibuat pun tampak gah dan boleh katakan next level lah. Penganjur berjaya anjurkan acara yang cukup berjaya. Ini adalah pandangan saya sebagai orang kali pertama merasai pengalaman ke aksi e-sukan,”

kata Fariha.

Menurut Fariha, dengan komuniti e-sukan yang majoritinya daripada kalangan orang muda, beliau berharap agar industri e-sukan akan terus berkembang yang mana ia akan dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti e-sukan di peringkat antarabangsa.

“Memandangkan komuniti e-sukan dari kalangan muda jadi mereka perlu ambil peluang ini kembangkan lagi dan jika ini berlaku ia akan mewujudkan persaingan yang sengit selain melahirkan lebih ramai atlet e-sukan.

Ia bagus kerana tahap e-sukan di negara akan naik.”

Dalam pada itu, Najwa turut mengakui beliau pada mulanya sedikit skeptikal apabila mendapat tahu mengenai e-sukan kini termasuk dalam kategori sukan, namun persepsinya berubah selepas mengetahui lebih mendalam tentang e-sukan.

Fariha dan Najwa juga berkata setiap orang perlu bersikap lebih terbuka dan menghormati minat orang lain tanpa sebarang prejudis.

“Kadang kala ada benda yang kita tak faham tu ia tidak bermakna ia tidak betul. Kita kena hormat antara satu sama lain.”