Faiz Shuhaimi seru lebih ramai OKU ceburi dunia e-sukan kerana ia punya potensi besar

128

Pengurus pasukan para e-sukan Malaysia, Faiz Shuhaimi menyeru kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berminat dengan dunia e-sukan untuk meneruskan minat mereka dalam bidang tersebut kerana ia mempunyai potensi yang cukup besar.

Menurut Faiz, walaupun ketika ini mereka masih belum mempunyai persatuan khusus untuk e-sukan OKU, namun beliau yakin ia akan diwujudkan tidak lama lagi berdasarkan perkembangan yang cukup positif e-sukan.


“Saya ingin menyeru kepada golongan OKU di luar sana yang berminat untuk terlibat dalam dunia e-sports untuk terus mencungkil minat anda.

Walaupun kita belum ada satu persatuan khusus tapi pada masa yang ada, anda boleh bina pasukan dan sertai kejohanan-kejohanan untuk cipta keserasian dan pengalaman.

Saya yakin dengan kerjasama yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi seperti ESI dan Majlis Paralimpik Malaysia, kita melihat dapat lihat bahawa pembangunan e-sukan di Malaysia adalah satu kunci utama industri yang mana Malaysia berperanan dan berpotensi untuk jadi peneraju di rantau Asia Tenggara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faiz pada masa sama turut memberitahu bahawa pihaknya kini bekerjasama dengan Majlis Paralimpik untuk mengenal pasti satu mekanisme yang sesuai bagi mencungkil dan mengesan bakat-bakat baru.

“Setakat ini di peringkat Majlis Paralimpik mereka telah menganjurkan Liga Sukan Komuniti dengan kerjasama KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) untuk mengesan bakat-bakat daripada kalangan OKU untuk bidang sukan termasuk e-sukan.”

Dalam pada itu, pemain pasukan para e-sukan negara Danish Danial memberitahu pasukan berada pada tahap yang agak baik dengan setiap pemain memberikan komitmen yang cukup tinggi.

“Setiap pemain memberikan komitmen penuh dalam latihan. Pencapaian kami ketika ini adalah semasa beraksi di Sukan SEA baru-baru ini, dan untuk masa akan datang kami akan ‘all out’ dalam setiap kejohanan yang akan disertai.”

Beliau pada masa turut berkata ketika ini mereka sedang memperbaiki kelemahan dari segi taktikal dan komunikasi.

Dengan bantuan daripada barisan kejurulatihan dari pasukan e-sukan terkenal HomeBois, beliau berharap ia akan membantu untuk mereka memperkemas permainan mereka nanti.