Pasukan dari Asia Tenggara semakin ‘mendonia’ di pentas Asia
Bola sepak di rantau Asia semakin memperlihatkan peningkatan yang cukup menakjubkan apabila pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan beberapa lagi cemerlang di peringkat antarabangsa.
Malah pasukan dari Eropah kini juga sudah mula gerun dengan pasukan-pasukan dari Asia kerana mengetahui kemampuan pasukan dari Asia ketika ini dan contoh terbaik adalah pasukan Jepun baru-baru ini berjaya mengejutkan bekas juara Piala Dunia, Jerman 4-1 dalam satu perlawanan persahabatan.
Bagaimanapun bukan pasukan dari Asia yang ingin diperkatakan, sebaliknya penulis ingin memperkatakan mengenai bola sepak di rantau Asia Tenggara (ASEAN).
Jika dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasukan-pasukan dari rantau ASEAN seperti Thailand, Vietnam, Malaysia dan Indonesia semakin memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara.
Sebelum ini pasukan Thailand telah memegang gelaran sebagai Raja Bola Sepak ASEAN dan tiada pasukan yang dapat menggugat kedudukan tersebut, namun kini gelaran tersebut tidak lagi dipegang oleh pasukan Gajah Perang tetapi juga dikongsi bersama pasukan lain.
Vietnam merupakan antara pasukan terkuat ketika ini dengan mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang sejak dikendalikan oleh Park Hang-seo yang telah berjaya mengubah landskap bola sepak di negara itu.
Pasukan kebangsaan Malaysia juga kini semakin memperlihatkan peningkatan yang cukup drastik sejak pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon mengambil alih pasukan kira-kira setahun lebih yang lalu.
Kehadiran Pan-gon telah memberi sinar harapan baru apabila beliau telah mengubah landskap bola sepak negara dengan menerapkan falsafah bola sepak moden yang telah memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara.
Malah, skuad Harimau Malaya yang sebelum ini gagal menyerlah di peringkat Asia telah mencipta sejarah apabila akhirnya kembali layak secara merit ke kejohanan paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2023 selepas lebih 40 tahun.
Tidak hanya skuad senior yang layak ke Piala Asia, skuad Harimau Muda B-23 turut mengikut jejak langkah sama apabila baru sahaja melayakkan diri mereka ke Piala Asia B-23 2024.
Jika dahulu hanya satu atau dua pasukan sahaja dari ASEAN yang layak ke Piala Asia, kini ASEAN mempunyai empat wakil di kejohanan tersebut iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Dalam pada itu, kebangkitan bola sepak pasukan ASEAN tidak hanya kepada pasukan kebangsaan sahaja tetapi juga melibatkan kelab bola sepak yang beraksi di keempat-empat liga di negara itu sendiri.
Kini, banyak kelab dari ASEAN yang turut bersaing di kejohanan AFC Champions League (ACL) yang mana mereka kini tidak lagi menjadi pasukan pelengkap jadual, sebaliknya turut mampu memberi saingan sengit kepada kelab gergasi dari Asia lain.
Selain ACL, kelab-kelab dari ASEAN turut mempunyai trek rekod yang cukup baik di kejohanan Piala AFC dan contoh terbaik adalah kejayaan kelab KL City FC (Malaysia) yang berjaya menjadi naib johan kejohanan itu.
Kualiti yang ada pemain-pemain dari ASEAN kini menyebabkan semakin banyak kelab gergasi Asia dan Eropah mula memancing pemain-pemain ini untuk menyarung jersi kelab mereka.
Ia merupakan satu petanda yang cukup positif buat bola sepak ASEAN dan jika peningkatan ini berterusan, tidak mustahil dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi jurang di antara pasukan dari ASEAN dengan pasukan dari Asia Timur dan Asia Barat akan menjadi kecil.
Oleh itu, harapan seluruh peminat bola sepak di ASEAN ketika ini adalah untuk menyaksikan pasukan-pasukan ini akan berjaya di peringkat tertinggi Asia kerana ia akan membawa banyak manfaat kepada rantau ASEAN.