Sukan ada masa depan boleh dijadikan sebagai kerjaya – Zaidatul Husna & Zaidatul Husniah
Bagi peminat olahraga pastinya mengenali dengan pasangan kembar popular Zaidatul Husna dan Zaidatul Husniah yang merupakan atlet olaharga negara yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Walaupun sukan olahraga sedikit kurang popular jika hendak dibandingkan dengan sukan lain seperti badminton atau bola sepak, ia tidak bermakna atlet-atlet olaharga seperti mereka tidak dapat menjadikannya sebagai kerjaya.
Menurut Zaidatul Husna atau lebih mesra dengan panggilan Along, walaupun ramai yang beranggapan menjadi ahli sukan terutamanya atlet olahraga tidak mempunyai depan yang cerah, namun beliau berpandangan sebaliknya.
“Kalau anda rasa sukan ini tidak menjamin masa depan, ia tidak benar! Anda boleh jadikan sukan sebagai kerjaya juga.
Kita boleh lihat ramai atlet-atlet senior sekarang ini yang sudah mempunyai kerjaya tetap mereka dan contoh terbaik adalah pelari pecut tersohor tanah air Khairul Hafiz Jantan yang sudah berjaya raih pingat di Sukan SEA, kemudian telah ditawarkan untuk bekerja di sebuah bank terkemuka.
Masa depan beliau sudah terjamin dan jika beliau berhenti pun, beliau ada lagi masa depan walaupun beliau tidak mempunyai pelajaran tinggi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Oleh kerana itu, beliau meminta agar orang ramai tidak memandang rendah pada sukan kerana sukan boleh pergi jauh.
Dalam pada itu, Zaidatul Husniah atau lebih mesra dengan panggilan Adik turut bersetuju dengan kenyataan kakak kembarnya itu dan menasihati anak-anak muda yang menceburi dunia sukan supaya tidak mudah putus asa jika berdepan apa sahaja dugaan dan cabaran.
“Nasihat saya kepada atlet-atlet muda di luar sana yang baru berjinak-jinak dalam bidang sukan olahraga atau pun apa sahaja jenis sukan jangan cepat putus asa dan teruskan perjuangan.
Saya pernah lalui benda itu sendiri yang mana dari kecil saya tidak perform tapi bila kita sudah dapat benda tu, insyaAllah Allah akan susun perjalanan kita sebaik-baiknya.”
Pasangan kembar pecut negara ini merupakan antara atlet olahraga terkemuka tanah air dan pernah menyertai pelbagai temasya besar dunia termasuk Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan banyak lagi.