Kombinasi pemain senior dan muda akan beri kita keputusan baik – Azurin Mazlan
Penjaga gol pasukan kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan skuad Malayan Tigress untuk memperoleh keputusan baik pada kejohanan Women’s International Friendly yang akan membuka tirainya esok 18 September.
Azurin berkata demikian selepas beliau menyertai latihan skuad negara yang dikendalikan oleh Soleen Al-Zoubi.
“Ini kali pertama saya bermain di bawah Coach Soleen dan ia sesuatu yang baru untuk saya.
Tapi falsafah yang dibawa oleh beliau iaitu bermain dengan instensiti tinggi adalah sama seperti corak permainan saya.
Saya rasa kombinasi pemain senior dan muda akan memberikan kita keputusan yang baik nanti memandangkan kita mempunyai pemain senior yang mempunyai pengalaman luas dapat beri tunjuk ajar kepada pemain muda,”
katanya.
Skuad negara kini berada di Taif, Arab Saudi untuk kejohanan Women’s International Friendly yang turut menyaksikan pasukan lain termasuk tuan rumah Arab Saudi, Bhutan, Laos, Lebanon dan Pakistan akan berentap dari 18 hingga 30 September ini.
Malayan Tigress diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Arab Saudi dan Pakistan.
Dalam pada itu, Azurin berkata walaupun beliau kini bermain di luar negara namun beliau tetap merasai tekanan dari segi persaingan sesama rakan sepasukan yang mahu memberikan yang terbaik untuk tersenarai dalam kesebelasan utama.
“Ya saya berasa sedikit tekanan tapi bagi saya ia satu persaingan sihat di antara rakan sepasukan yang mana masing-masing ingin tunjukkan kehebatan mereka dan sesiapa sahaja yang diturunkan pastikan akan beri yang terbaik untuk negara.”
Skuad negara menjadi pasukan pilihan dek berdasarkan kedudukan ranking, Malayan Tigress merupakan pasukan mempunyai ranking tertinggi berbanding pasukan lain.